Perteguh ukhuwah mencapai Laitatul Qadr

PELAJARAN dari Kalam Mulia

Advertisement

حدثنا محمد بن المثنى حدثنا خالد بن الحارث حدثنا حميد حدثنا أنس عن عبادة بن الصامت قال خرج النبي صلى الله عليه وسلم ليخبرنا بليلة القدر فتلاحى رجلان من المسلمين فقال خرجت لأخبركم بليلة القدر فتلاحى فلان وفلان فرفعت وعسى أن يكون خيرا لكم فالتمسوها في التاسعة والسابعة والخامسة

الراوي : عبادة بن الصامت | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري

Sayyidina ‘Ubadah bin Somit RA berkata bahawa Rasulullah SAW keluar (dari rumahnya) untuk memberitahu kami tentang Lailatul Qadr.

Ketika itu ada 2 orang lelaki daripada orang Islam sedang bergaduh. Maka baginda Nabi SAW bersabda:

“ Aku telah keluar untuk memberitahu kamu tentang Lailatul Qadr, tetapi si pilan dan si polan sedang bergaduh, oleh itu penentuan Lailatul Qadr telah di angkat. Mudah-mudahan itu lebih baik bagi kamu. Maka carilah Lailatul Qadr pada malam ke-9, ke-7 dan ke-5.

Keterangan Hadith:
1) Pergaduhan merupakan perkara yang paling buruk sehingga penentuan Lailatul Qadr telah diangkat.

Permusuhan dan pergaduhan kerana kepentingan dunia adalah dilarang. Tetapi untuk memutuskan hubungan dengan seseorang kerana perbuatan kefasikannya ataupun untuk membela urusan agama adalah diharuskan.

2) Hendaklah kita redha, menerima dan menyerahkan diri pada hikmah ilahi. Walaupun secara zahirnya, terangkat penentuan Lailatul Qadr merupakan KEHILANGAN KEBAIKAN YANG SANGAT BESAR.

oleh kerana ianya merupakan anugerah Allah SWT. Maka Baginda SAW telah bersabda “mungkin ini lebih baik bagi kita” . Senantiasa bersangka baik pada ketetapan Allah SWT.

3) Perkara yang perlu direnungkan bersama. Allah SWT zat yang maha pengasih lagi maha pemurah. Jika seseorang menghadapi musibah disebabkan amalan buruknya, kemudian dia bertaubat serta menyedari kesilapannya dengan memohon ampun dan mengaku kesalahannya. Maka limpahan kasih sayang Allah SWT bersamanya. Maka musibah itu akan dijadikan sebagai sebab kebaikan yang besar baginya.

4) 3 malam telah diberitahukan bagi tujuan mencari Lailatul Qadr iaitu malam ke 9, ke 7 dan Ke 5. Dengan mengabungkan riwayat lain dapatlah kita fahami bahawa ketiga-tiga malam itu terdapat pada 10 malam yang terakhir samada malam 25, 27 dan 29.

Banyak perbincangan para ulamak mengenai mencari Laitul Qadr. Namun lebih utama bagi kita menumpukan seluruh Ramadhan dengan Ibadah dan mengandakannya pada 10 malam terakhir.

Lailatul Qadr itu tetap menjadi rahsia, beruntung dan berbahagia mereka yang memperolehinya dan amatlah rugi mereka yang terlepas mendapat kebaikannya.

Betapa besarnya nikmat Allah SWT apabila mana-mana amalan agama apabila usaha telah dilakukan walaupun tidak berjaya , ganjaran usaha tersebut tetap diperolehinya.

Adapun untuk tujuan keduniaan sekiranya hasilnya tidak tercapai maka usahanya menjadi sia-sia. Betapa ramai yang sanggup membinasakan diri dan harta semata-mata atas tujuan dunia dan perkara sia-sia alangkah ruginya.

MOHAMED SUKRI OMAR
Timb Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 10/5/2020