Ziarah dalam negeri, 20 orang maksima

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan ziarah jiran, sanak-saudara untuk tujuan perayaan, namun mestilah dalam negeri yang sama dan tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Advertisement

Kebenaran tersebut diberikan susulan penambahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 7 Jun ini, iaitu empat minggu dari sekarang.

Kata Muhyiddin, kelonggaran tersebut diberi memandangkan sepanjang penambahan tempoh PKPB kali ini terdapat tiga perayaan yang lazimnya disambut dengan pergerakan ramai rakyat Malaysia, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Keputusan tersebut sekaligus memberi jawapan kepada persoalan ramai mengenai kebenaran untuk pulang beraya ke kampung sempena Aidilfitri ini, yang bakal jatuh pada 24 Mei adalah tidak dibenarkan.

“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu-bapa dan sanak saudara.

“Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga. Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana.

“Saya tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OK lah. Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai.

“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya dalam satu Perutusan Khas Perdana Menteri, di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menziarahi jiran dan keluarga sepanjang PKPB ini seperti menjaga penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung dan penggunaan hand sanitizer.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/5/2020