3,176 operasi ‘task force’ telah dijalankan semalam

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian PKPB hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,176 operasi Task Force pematuhan prosedur standard operasi (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah digerakkan di seluruh negara.

Operasi berkenaan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan 17,507 anggota bersama penyertaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Advertisement

Dalam sidang media harian PKPB, Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil operasi tersebut sebanyak 54,739 pemeriksaan dilakukan semalam.

Katanya, pemeriksaan membabitkan sebanyak 4,792 pasaraya, 3,684 restoran dan 8,308 kilang serta 2,423 bank.

Tambahnya, pemeriksaan juga telah dibuat di 785 terminal pengangkutan darat, 117 terminal pengangkutan air dan 49 terminal pengangkutan darat.

Beliau mengulas pasukan Task force menjalankan pemeriksaan terhadap pematuhan penjarakan sosial walaupun SOP dalam PKPB ini tidak seketat SOP PKP 1,2, dan 3 namun pematuhan SOP tetap diperlukan.

Anggota penguatkuasa setakat ini menggunakan kaedah budi bicara iaitu menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP PKPB.

“Pematuhan SOP jika dilanggar juga menyalahi Akta 342 dan boleh dihukum kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

“Jadi saya menyeru supaya bukan sahaja orang ramai tetapi pemilik restoran juga mesti mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, pasukan Task Force telah melakukan pemeriksaan kenderaan terhadap 20,928 buah kenderaan persendirian dan 1,624 kenderaan awam.

Turut diperiksa ialah 1,788 pasar awam, 2,832 tempat ibadah, 1,168 tempat riadah dan 335 tapak binaan.

Mengenai Gerak Malaysia kata Ismail Sabri, pergerakan rentas negeri bagi mereka yang terkandas di kampung telah ditamatkan semalam.

Secara keseluruhannya katanya, PDRM telah menerima dan meluluskan 401,253 permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia dan juga borang manual polis.

Menjelaskan lebih terperinci katanya, semalam PDRM telah membenarkan sebanyak 109,309 melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 1,388 kebenaran melalui borang manual polis.

Ia melibatkan mereka yang terkandas terkandas di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“PDRM juga telah mengadakan 128 sekatan jalan raya untuk memantau pergerakan rentas negeri dan daripada laporan PDRM, rentas negeri berjalan dengan baik,” kata Ismail Sabri. HARAKAHDAILY 11/5/2020