Banjir kilat: PAS Bukit Gantang salur bantuan

BUKIT GANTANG: PAS Kawasan Bukit Gantang bersama Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Bukit Gantang telah melancarkan operasi bantuan banjir berikutan beberapa kampung ditenggelami air, di sini malam tadi.

Advertisement

Hujan lebat yang mulai turun lewat petang itu telah menyebabkan kawasan rendah mula dinaiki air dan keadaan menjadi kelam kabut kerana air naik begitu pantas di saat umat Islam sedang berbuka puasa.

Operasi dipimpin Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman melibatkan Kampung Changkat Ibol, Kampung Tengah, Batu 9, Batu 8, Kampung Paya, Sungai Limau, Senduk Tengah, Senduk Ulu Bendang Siam dan Rumah Anak-anak Yatim Siti Khadijah.

“PAS Kawasan bersama AMAL Bukit Gantang mula menggerakkan jentera jam 8 malam dan kebanyakan kampung yang terlibat terletak di DUN Changkat Jering dan Sepetang.

Alhamdulillah, misi bantuan malam ini turut mendapat kerjasama Penghulu Mukim Bukit Gantang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

“Empat pusat bantuan banjir dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Changkat Ibol, Surau Kampung Paya Dalam, Dewan Orang Ramai Batu 8 dan Masjid Wusta Batu 8,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengedarkan 200 pek makanan kepada mangsa-mangsa banjir dan merancang untuk membantu penduduk membersihkan rumah mereka apabila air mulai surut nanti.

Operasi berakhir jam 3 pagi dan kepada yang ingin memberikan sumbangan bolehlah menghubungi Pusat Khidmat PAS Kawasan di talian 019-5403449 atau melalui akaun Prihatin PAS Kawasan Bukit Gantang, Maybank 5580 5130 4442. – HARAKAHDAILY 11/5/2020