Lantikan Pengerusi Kada: Serah kepada YDPA

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyerahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Advertisement

Difahamkan sehingga sekarang Naib Presiden PAN Dato’ Husam Musa masih belum meletak jawatan sebagai pengerusi Kada.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, pelantikan jawatan pengerusi Kada terletak bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, jadi terpulang kepada baginda untuk melantik siapa Pengerusi Kada,” katanya selepas melawat loji benih padi Pertubuhan Peladang Kawasan Puteri Saadong di Binjai dekat sini hari ini.

Pelantikan Husam sebagai pengerusi Kada sepatutnya berakhir pada 28 Februari 2021.

Baru-baru ini ahli Parlimen PKR Wong Chen mencadangkan lantikan politik kerajaan Pakatan Harapan perlu melepaskan jawatan masing-masing memandangkan berlaku perubahan pentadbiran kerajaan sekarang.

Che Abdullah juga berkata, ramai yang berkelayakan untuk dilantik bagi bagi mengisi jawatan sebagai pengerusi Kada. – HARAKAHDAILY 11/5/2020