Pengajaran Melayu serang Melayu: Siam berkuasa

PENGKHIANATAN adalah penyakit yang merosak dan menghancurkan bangsa. Pada zaman Ayutthaya Purba (sebelum Sukhotai), Siam sangat berminat untuk menguasai Ligor sebagai pintu masuk untuk mereka menguasai bumi Melayu. Pada 1182, Raja Ayutthaya Purba, Tao Uthong telah menyerang Ligor, tetapi Raja Melayu yang digelar sebagai Phra Chao Sri Tamma Sokeroj telah bermatian-matian mempertahankan bumi Melayu ketika berperang di Bansaphan, di Prachuap Kirikhan. Siam gagal!

Pada 1283, Raja Ramkamheang pula menyerang, Raja Sang Tawal yang memerintah Ligor hingga ke Langkasuka telah berundur ke Bedelung setelah Ligor jatuh pada 1292. Pada 1294 Raja Sang Tawal menyerang balas dan berjaya membuat sempadan dengan Siam Sukhotai di Petchbuti-Ratchburi, di Selatan Bangkok. Apabila Raja Ramkamheang menyerang lagi pada 1299, dia telah dibunuh oleh Raja Melayu, Puteri Urduja anak Raja Sang Tawal. Selepas itu, Ligor diperintah oleh cucu Raja Sang Tawal, Sultan Mohamad Tahir yang sudah memeluk Islam.

Advertisement

Pada 1350, Siam menyerang lagi iaitu saat Raja Lamuttal balik ke Jawa. Apabila Ligor jatuh, Siam terus menganggap Ligor adalah taklukannya. Mereka memberi taraf Muang Pratetrach, yakni negeri setia yang tunduk kepada Siam, sedangkan Raja-raja Melayu terus memerintah. Bezanya, raja dahulu mempertahankan negeri, raja sekarang menjadi alat musuh, demi kuasa menggadai negeri.

Siam tahu Ligor adalah Kerajaan terkuat di Selatan dan boleh menjadi pusat perluasan wilayah mereka. Sejak itu, Siam tidak lagi berperang dengan orang Melayu, sebaliknya menyuruh pemimpin Melayu Ligor yang menyerang Kerajaan-kerajaan Melayu. Melayu vs Melayu! Itulah strategi Siam… Mari kita lihat contoh kejatuhan Melayu kerana diserang oleh Melayu…

(1) Pada 1373, Raja Ligor, Nai Ka telah menyerang dan menjajah negeri-negeri Melayu di Pantai Barat seperti Randung, Bunga dan Bukit yang menjadi jajahan Majapahit. Sejak itu Randung (Ranong), Bunga (Pha-nga) dan Bukit (Phuket) jatuh ke tangan Siam. Pada abad ke-18, Siam menyerahkan wilayah-wilayah kepada orang Cina yang dilantik sebagai raja-raja.

(2) Pada abad ke-15, Raja Ligor, Dewa Sura telah diarahkan supaya menyerang Pura (Pahang). Pahang menjadi jajahan Siam sebelum dibebaskan oleh Melaka;

(3) Sejarah Melayu menyebutkan Siam telah mengarahkan Awi Dicu menyerang Melaka dua kali. Tetapi gagal. Siapa Awi Decu? Awi ialah gelaran bagi raja yang menjadi wakil Raja Siam (kadang-kadang disebut Okya), Dicu pula gelaran Siam bagi Raja Ligor yang disebut Decho. Ertinya, Awi Dicu itu adalah Raja Ligor (dalam surat Siam, Sultan Melaka disebut Awi Melaka).

(4) Pada 1668, Sultan Sulaiman Singgora telah mangkat. Puteranya menjadi raja bergelar Sultan Mustafa. Adindanya, Nik Husein menjadi Raja Muda dan Nik Hassan menjadi Laksamana. Seorang lagi putera, Nik Mahmud memberontak. Siam melantiknya menjadi Raja Ligor dan diberi gelar Phraya Ram Decho. Pada 1680, Siam arahkan Sultan Mahmud Phraya Ram Decho menyerang Singgora. Sultan Mustafa kalah. Sejak hari itu, Singgora tidak ada raja lagi. Pada 1777, Siam melantik seorang Cina, Yiang Sae Hao menjadi Raja Singgora bergelar Phraya Songkhla. Sejak itu, Dinasti Yiang Sae Hao memerintah Singgora sebagai raja sehingga 1901. Selama 126 tahun, negeri Melayu berajakan Cina. Keluarga Cina ini selalu disebut Na Songkhla.

(5) Pada 1769, Siam serang Ligor lagi setelah Long Nai Sitthi, seorang Raja Melayu mengisytiharkan Ligor merdeka pada 1767 dan memakai gelar Raja Musika. Bila kalah diserang Siam, Raja Musika berundur ke Patani. Setelah itu, baginda ditahan oleh Siam. Sebagai perdamaian, anaknya, Preng dijadikan gundik Raja Siam, Phraya Taksin (bangsa Cina) dan Raja Musika kembali menjadi Raja Ligor bergelar Phraya Nu Nakhon. Pada 1811, anak Phraya Taksin dengan Preng, dilantik menjadi Raja Ligor bergelar Chao Phraya Noi Nakhon. Sejak itu, anak Cina dan keturunannya menjadi Raja Ligor sehingga 1901. Mereka disebut Na Nakhon.

(6) Kejatuhan Kerajaan Patani pada 1786 juga kerana peranan Ligor!

Saya membawa beberapa contoh, bagaimana negeri-negeri Melayu lenyap kerana pemimpinnya khianat. Pahang pernah terjajah, Melaka diserang, Singgora menjadi milik Cina (juga Ranong, Pukhet dan Jering) dan Ligor sendiri hilang kedaulatannya… Berhati-hati dengan pemimpin khianat. Tidak sedar diri diperalat. Akhirnya tanah air tergadai, bangsa tersadai…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 11/5/2020