PKPB: Jangan bahayakan nyawa anak kecil

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyeru orang ramai agar tidak menggunakan kebebasan (PKPB) dengan membahayakan keselamatan orang lain.

Advertisement

Demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya di Putrajaya hari ini.

Beliau merujuk kepada 5 peratus kalangan rakyat khususnya ibu bapa yang membahayakan keselamatan nyawa anak-anak kecil dengan membawa ke kawasan khalayak seperti pusat membeli belah.

“Saya lihat masih ada mungkin dalam kumpulan 5 peratus, masih ada yang membawa anak kecil ke pusat membeli belah.

“Saya harap keselamatan anak perlulah kita jaga, walaupun kita ada kebebasan masih tidak ada akta di bawah Akta 342 (iaitu) tidak ada sekatan untuk membawa anak kecil misalnya untuk ke pusat membeli belah.

“Tetapi saya katakan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan anak kita adalah tanggungjawab kita sendiri,” kata Ismail Sabri dalam sidang media harian PKPB, yang disiarkan secara langsung di televisyen sebentar tadi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap ibu bapa tidak menggunakan kebebasan yang diberikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tidak membahayakan nyawa ahli keluarga sendiri.

Ulasnya setakat ini belum ada peraturan di bawah Akta 342 yang menghalang ibu bapa membawa anak masing-masing ke pusat membeli belah.

Namun katanya, jika perkara ini berterusan kerajaan tidak akan teragak-agak memasukkan peraturan ini di dalam Akta 342 untuk melarang ibu bapa membawa anak mereka ke tempat khalayak ramai seperti pusat membeli belah.

“Kita akan bincangkan perkara ini jika nampaknya masih ada ibu bapa yang tidak menghiraukan keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada 95 peratus rakyat Malaysia yang mematuhi dan mendisiplinkan diri menjaga keselamatan diri serta menjaga kawalan kendiri.

Ujanya, ini menunjukkan tahap kesedaran tentang peranan orang ramai untuk menjaga kepentingan kawalan kendiri masing-masing. – HARAKAHDAILY 11/5/2020