Badar al-Kubra: Waspada watak Dhamdham

‘PAPARAZI’ jahat, serangan saraf

Dalam mengambil pengajaran dari peperangan Badar al-Kubra yang terjadi pada bulan Ramadan tahun ke-2 Hijrah, perlu diambil perhatian juga kepada satu watak yang menjadikan tercetus peperangan tersebut iaitulah namanya Dhamdham (ضمضم).

Watak Dhamdham ini ialah sebagai ‘balaci’ kepada Abu Sufyan dalam menyebarkan berita gempak bagi menggemparkan masyarakat Musyrikin Makkah untuk melawan Rasulullah S.A.W dan umat Islam di Madinah.

Advertisement

Tugas Dhamdham dilaksanakan dengan:

(1) Menokok tambah cerita asal sehingga menfitnah kepada Rasulullah S.A.W dan umat Islam kononnya Baginda S.A.W ingin berperang dan dengan melancarkan serangan ke atas rombongan Abu Sufyan yang balik berdagang di Syam.

(2) Menimbulkan kebencian dan kemarahan Musyrikin Makkah dengan menampakkan dirinya serta kuda tunggangannya dalam keadaan cedera luka sedang cedera luka adalah buatan sendiri yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W secara fitnah.

(3) Mengajak kebersamaan Musyrikin Makkah keluar berperang bersama membantu Abu Sufyan atas nama Asobiyah dalam membangkitkan semangat juang mereka yang sudah ditanam membenci Islam.

‘Bad marketing’ dan ‘play victim’

Jahatnya watak Dhamdham ini dengan juga pengarahan Abu Sufyan apabila cerita atau berita yang asal diubah kepada persepsi jahat yang akhirnya tercetuslah peperangan Badar al-Kubra.

Sedia maklum, pada asalnya Rasulullah S.A.W keluar bersama beberapa Sahabat adalah tujuan menuntut kembali barangan Muhajirin yang ditinggalkan semasa berhijrah dan barangan itu dirampas oleh Abu Sufyan untuk digadai dan didagang.

Plot asal ialah menuntut hak dengan berbincang. Sebab itu, dalam peperangan Badar al-Kubra tidak semua Sahabat yang keluar. Terdapat para Sahabat yang tidak keluar dan apabila tercetus peperangan mereka tidak dapat sertai menyebabkan kita boleh lihat reaksi mereka apabila berlakunya Peperangan Uhud pada tahun hadapannya iaitu tahun 3 Hijrah, mereka bersemangat untuk turut serta dan menyokong Peperangan Uhud itu berlangsung di luar Madinah.

Dhamdham melakukan ‘bad marketing’ promosi jahat dalam meraih simpati dari kalangan Musyrikin Makkah dengan mencipta ‘kesalahan’ dan ‘kejahatan’ ke atas Rasulullah S.A.W dan umat Islam di Madinah.

Keadaan Dhamdham ketika tiba di Makkah dalam menyampaian berita dengan keadaan seperti berikut:

وصل ضمضم بن عمرو الغفاري إلى مكة، وقد حول رحله وجدع أنف بعيره، وشق قميصه من قُبُل ومن دُبُر، ودخل مكة وهو ينادي بأعلى صوته: «يا معشر قريش، اللطيمةَ، اللطيمةَ، أموالكم مع أبي سفيان قد عرض لها محمد في أصحابه، لا أرى أن تدركوها، الغوثَ، الغوثَ»

“Dhamdhan bin Amr Al-Ghafari tiba di Makkah, dan dia membalikkan perjalanannya (duduk di atas unta dalam keadaan menghadap ke arah belakang), dan mematah atau memotong hidung unta, dan mencarikkan bahagian depan bajunya dan belakang. Dan dia menjerit dengan suara yang tinggi: Wahai sekalian Quraisy, harta harta kalian (yang dibawa dagang oleh) Abu Sufyan telah (dirampas dan) dibahagikan oleh Muhammad kepada Sahabat-sahabatnya.”

Teknik ‘play victim’ yang dimainkan oleh Dhamdham ialah:

(1) Mencederakan tungganggan sendiri dengan memotong untanya.
(2) Duduk di atas unta dalam keadaan terbalik, kononnya dizalimi.
(3) Mencarik atau mengoyak bajunya bagi menunjukkan keadaannya yang teruk dikerjakan.

Watak Dhamdham adalah suatu kecelakaan

Bahaya dan bahana ummah jika terperangkap dengan watak Dhamdham ini. Perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan perbincangan, rundingan, dialog, tuntutan dan apa sahaja medium yang terbaik bertukar menjadi bala peperangan yang mengakibatkan kematian nyawa.

Watak sebegini perlu diperhatikan agar maklumat yang sahih sampai dengan sepatutnya. Namun begitu, watak Dhamdham ini tidak akan berjaya tanpa:

(1) Boss yang mengarahkannya iaitu Abu Sufyan.
(2) Fanatik dari kaum Quraisy Musyrikin Makkah yang telah lama membenci Islam.

Sungguhpun berita inilah realiti yang mesti diambil perhatian apatah lagi di zaman media sosial yang begitu pantas maklumatnya yang kadang kala maklumat diperolehi tidak masak sepenuhnya, hanya sebahagian kecil dari cerita menyeluruh dan tidak tahu asal-usul punca.

Yang lebih parah lagi apabila tanpa mengira dosa dan pahala, keinginan mencapai sesuatu menjadikan apa juga bentuk ‘marketing’ sekalipun ‘bad marketing’ akan dilakukan demi kepuasan dan mencapai matlamat.

Menjadi kekeliruan pula apabila wayang ‘play victim’ yang menarik simpati orang terhadapnya bagi tujuan:

(1) Kononnya bukan dia bersalah kerana dia merupakan mangsa.
(2) Menimbulkan polemik ‘orang lain’ pula yang bersalah walhal tidak.

Sebab itu, pentingnya menjaga adab dan etika dalam sesuatu penyampaian berita agar tidak mengulangi watak Dhamdham yang akhirnya mencetuskan peperangan!

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/5/2020