Mendukung PN, memperkasa MN

ALHAMDULILLAH. Ini sebahagian foto-foto kenangan Pemukiman bersejarah Muafakat Nasional PAS-Umno pada 22 dan 23 Februari 2020 yang lepas di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang. 

Advertisement

Pemukiman Muafakat Nasional asasnya ialah membuat persiapan ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang dijangka diadakan pada 2022 atau 2023.

Penulis bersama wakil Umno semasa pemukiman di Janda Baik, Pahang pada 22 Februari lalu.

Namun takdirnya, tanpa diduga seminggu selepas itu pada 29 Februari Kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana masalah dalaman PH yang akhirnya menyebabkan Perdana Menteri Ke-7 Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Dipendekkan cerita, pada 1 Mac 2020 Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 setelah diperkenan oleh DYMM YDP Agong. 

PAS dan Umno membuat keputusan menyertai Kerajaan yang dijenamakan sebagai Perikatan Nasional (PN) ini demi Kestabilan Politik Negara tercinta. 

Semasa Retreat Muafakat Nasional tersebut, selain ucaptama Presiden kedua-dua parti dan taklimat senario politik semasa, peserta juga dibahagikan kepada 6 kumpulan brainstorming mengikut kluster. 


Kemudiannya setiap kumpulan membuat pembentangan dengan setiap kumpulan pembentang terdiri daripada seorang pimpinan PAS dan seorang pimpinan Umno bergandingan. 

Tujuan pemukiman yang dihadiri Majlis Kerja Tertinggi Umno, AJK PAS Pusat, Pengerusi-pengerusi Umno Negeri/ Wilayah Persekutuan, Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri/ Wilayah Persekutuan dan JK Harian Sayap Umno dan Dewan-dewan PAS Pusat ini ialah bagaimana untuk mengambil-alih semula Putrajaya daripada PH pada PRU-15. 

Bahkan hasil Pemukiman tersebut ialah Perancangan Strategik Muafakat Nasional Menuju Putrajaya PRU15.

Maka oleh itu, amat wajar Muafakat Nasional diperkasakan. Ta’awun Siasi ini telah mempunyai Piagamnya yang telah ditandatangani pada 14 September 2019, himpunan mega yang telah menempa sejarah. 

Lebih menarik melalui siri-siri perhimpunan, mesyuarat dan pemukiman, pimpinan Umno sudah boleh menyanyikan lagu rasmi PAS – BERJIHADLAH, manakala pimpinan PAS juga sudah boleh mengalunkan lagu rasmi Umno- BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT! 

Apapun, sejarah telah menyaksikan bahawa Muafakat Nasional (MN) PAS-Umno telah mengambil konsensus untuk bersama BERSATU, mantan PKR, GPS dan beberapa lagi parti untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Ia adalah satu persefahaman longgar untuk menyelamatkan Malaysia setelah terkuburnya Kerajaan Persekutuan yang diterajui PH. 

Maka oleh itu, Perikatan Nasional perlu didukung dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu disokong!

Selain Kerajaan Persekutuan, PN juga menerajui Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang, Johor, Melaka, Perak, in shaa Allah Kedah dan Sarawak.

Sebahagian dalam gambar ini juga telah dilantik menjadi Menteri Kanan, Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Exco dan pelbagai taklifan di peringkat Pusat dan Negeri. 

Buat masa ini, PN bukan seperti MN yang punyai Piagam. Namun PN adalah Kerajaan Prihatin yang semakin mendapat tempat di hati rakyat. 

PAS pimpinan Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagaimana keputusan mesyuaratnya memberi komitmen untuk terus bersama PN sehingga PRU15. 

Barisan Nasional (BN) pimpinan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini juga telah mengeluarkan kenyataan media.

Antaranya menyatakan BN terus memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8. 

BN juga akan terus menyokong dan mendokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri.

Kerajaan yang ada tentunya masih jauh daripada kesempurnaan. Namun demi Malaysia dan rakyat yang mengimpikan sebuah pentadbiran yang lebih baik daripada PH, in shaa Allah Perikatan Nasional akan terus berkhidmat.


Selepas PRU14, Rakyat Malaysia dimomokkan oleh PH dengan harapan menggunung melalui slogan #MalaysiaBaharu! Ternyata ianya indah khabar daripada rupa!

Kita impikan #MalaysiaSejahtera dengan asas Perlembagaan dan Kontrak Sosial. PH sudah diberi peluang 22 bulan namun ternyata tidak cemerlang, kini berilah peluang kepada PN buktikan sehingga PRU15! 

Doakan semoga esok dan hari-hari mendatang in shaa Allah akan menjanjikan kebahagiaan buat Malaysia dan seluruh rakyat masyarakat majmuk berbilang agama dan bangsa. 

Malaysia diharapkan menuju kecemerlangan dengan Islam-Melayu memimpin, Islam sebagai Agama Persekutuan serta masyarakat Muslim dan bukan Islam hidup rukun damai, aman makmur dan saling lengkap-melengkapi. 

Doakan yang terbaik untuk Malaysia! Teruskan perjuangan.

MUHTAR SUHAILI AS SARAWAKI

,AJK Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat – HARAKAHDAILY 12/5/2020