Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (53)

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا

“Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.”

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا

“Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, didapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan mereka.”

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

“Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

Intisari penting

(1) Antara dua bukit

Menurut Ar-Razi dan ramai mufassir lain selepasnya, arah ketiga yang dituju selepas Barat dan Timur adalah Utara. Ibn kathir menggambarkan kawasan tersebut adalah lubang atau laluan di antara dua bukit. Al-Qurtubi menukilkan dari al-Ata`al-Khurassani bahawa menurut Ibn Abbas, kawasan tersebut adalah bukit antara Azerbaijan dan Armenia.

Al-Alusi lebih menspesifikkan tempat dengan mengatakan ianya di Derbent, Dagestan. Az-Zuhaili menambah bahawa ia adalah penempatan kaum Slav di Timur Laut Hitam.

Maulana Azad dan Dr Abdul Alim berpendapat bahawa kawasan tersebut adalah di Darial Gorge, sempadan Georgia-Russia. Di sana terdapat satu-satunya jalan antara pergunungan Caucasus setinggi 1,200 km yang menghubungkan antara dua negara tersebut. Di zaman Zulqarnain, Selatan tembok tersebut dihuni oleh kaum Kushia manakala Utara dihuni oleh kaum Masajit.

Tambah Azad, pandangan ini turut dinyatakan oleh al-Qasimi bahawa terdapat pintu besi di Darial Gorge itu. Perkara ini turut dinukilkan oleh an-Naisaburi. Walau bagaimanapun, pada hari ini tiada lagi tembok yang dinyatakan. Menunjukkan tembok tersebut telah terbuka sebelum ini.

(2) Yakjuj dan Makjuj

Ibn Kathir mengatakan bahawa mereka adalah manusia berasaskan Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah Hadis Qudsi:

إنَّ بَنِي آدَمَ كثيرٌ، وإنَّ يَأْجوجَ ومَأْجوجَ مِن وَلَدِ آدَمَ، وإنَّهُ لا يموتُ منهُم رَجُلٌ حتَّى يَنتَشِرَ لصُلْبِهِ ألْفُ رَجُلٍ

“Allah berfirman: Sesungguhnya anak Adam itu ramai dan Yakjuj Makjuj dari anak Adam. Tidak akan mati seorang lelaki di kalangan mereka melainkan lahir darinya 1,000 yang lain.”

[Hadis Riwayat Ibn Kathir dalam tafsirnya]

Ibn Kathir turut berpendapat bahawa Yakjuj dan Makjuj daripada keturunan Yafith bin Nuh iaitu salah seorang dari tiga anak Nabi Nuh yang menjadi asal-usul manusia seluruh dunia selepas banjir besar. Menurut at-Tabari, keturunan Yafith melahirkan bangsa-bangsa sebelah Asia Timur seperti Turkik, China, Melayu, Siam, Jepun dan lain-lain.

Ramai mufassir berpandangan Yakjuj dan Makjuj daripada keturunan Mongol dan Tatar yang berdarah Turkik. Namun Syeikh Imran Hosein mengatakan mereka merupakan kaum Khazar yang pernah mendirikan empayar Khazar sebelum ditumbangkan di zaman Umawi. Pandangan ini menepati salah satu pendapat yang dinukilkan oleh al-Alusi bahawa kedua kaum tersebut adalah Khazar dan Turk. Kedua-kedua kaum ini juga berbangsa Turkik.

Ibrah akhir zaman

Dalam sebuah Hadis ketika menceritakan era selepas Nabi Isa membunuh Dajal, Allah S.W.T menggambarkan Yakjuj dan Makjuj sebagai kaum yang sangat kuat. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِذْ أَوْحَى اللَّهُ إلى عِيسَى: إنِّي قدْ أَخْرَجْتُ عِبَادًا لِي، لا يَدَانِ لأَحَدٍ بقِتَالِهِمْ، فَحَرِّزْ عِبَادِي إلى الطُّورِ وَيَبْعَثُ اللَّهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ،

“Ketika Allah mewahyukan kepada Isa, sesungguhnya aku telah keluarkan kalangan hamba-hambaku yang tidak mampu diperangi oleh sesiapapun. Maka berlindunglah di bukit Tur. Maka ketika itu Allah mengutuskan Yakjuj dan Makjuj.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Walaupun dikurniakan kekuatan yang tidak mampu dihapuskan sesiapa, namun mereka menggunakannya berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Zulqarnain. Mereka menuggakannya untuk melakukan kerosakan (فساد).

Fasad memberi pengertian yang luas. Tidak hanya kerosakan berbentuk fizikal seperti pembunuhan, penyeksaan dan peperangan, malah ia turut meliputi maksud kerosakan dari sudut pemikiran, sistem, budaya dan akhlak.

Kefasadan yang lebih umum dan sejagat itu lebih signifikan untuk difahami kerana ia lebih berkait dengan cerita kekuasaan Zulqarnain. Tuhan mendatangkan kisah kefasadan Yakjuj dan Makjuj sebagai perbandingan dengan Pax-Qarnain. Sebagai antonim, bolehlah kita gelarkan sebagai Pax-Gogmagoga; kerosakan sejagat.

Sedarkah kita bahawa dunia hari ini sedang mengalami kerosakan sejagat? Kerosakan ini berpunca daripada agenda globalisasi yang dilakukan oleh Barat. Menurut Francis Fukuyama, selepas kejatuhan Soviet, tiada lagi tamadun yang akan naik selain daripada tamadun Barat. Tamadun yang disebutkan adalah berasaskan tamadun Liberalisme.

Untuk menjamin keabsahan tamadun ini, mereka perlu merealisasikan apa yang disebutkan sebagai orde Liberal Antarabangsa, gagasan elitis US yang berideologi Liberal-Internationalism bermula dari zaman Presiden US Woodrow Wilson. Walaupun ramai sarjana mengkritik pendekatan ini, namun ternyata ia masih dijalankan sehingga sekarang.

Bertunjangkan orde ini, George HW Bush menggagaskan pula globalisasi atas nama orde dunia baharu. Order ini bagi menyatukan manusia di bawah satu tamadun sahaja; tamadun Barat. Nilai-nilai Liberal seperti demokrasi, perdagangan bebas, Kapitalisme, kebebasan hak asasi manusia dan seumpamanya disebarluaskan ke seluruh dunia.

Namun sedarkah kita, nilai-nilai inilah yang sedang merosakkan umat manusia ketika ini? Sistem politik berteraskan demokrasi ini memberikan manusia seluas-luasnya pilihan untuk membuat undang-undang berasaskan majoriti. Kini manusia menggubal sesuka nafsu hati undang-undang tanpa batasan halal haram. Tanpa panduan wahyu yang betul, manusia akan terus hanyut dengan demokrasi tidak terpimpin ini.

Dalam aspek ekonomi pula, Kapitalisme membuatkan manusia hanya memikirkan soal untung perniagaan semata-mata. Semua perkara diswastakan atas nama pemberdayaan. Swasta pula diberikan kuasa seolah-olah sebuah Kerajaan sehingga mampu menentukan polisi Kerajaan. Kini negara banyak membuat polisi yang membuatkan Kapitalis kaya semakin kaya, dan marhaen miskin semakin miskin.

Budaya manusia juga sudah rosak dengan Liberalisme. Anak-anak tidak hormat ibu bapa. Seks bebas perkara biasa. Kata-kata kesat menjadi kebanggaan. Hiburan menjadi sembahan. Semuanya kerana doktrin kebebasan; ikut suka aku nak buat apa pun!

Bangsa Arab turut disampuk globalisasi ini. Bahana pemimpin mereka yang bersekutu dengan Barat, generasi keturunan mulia itu yang menjadi mangsa. Zahir sahaja mereka masih berjubah dan bertudung, namun mentaliti dan sosial mereka tidak lagi mengikut sunnah. Inilah kerosakan yang dijanjikan oleh Nabi S.A.W (rujuk ayat 51 & 52: Arab Berwalikan Musuh Allah).

Dengan kerosakan seluruh dunia yang berlaku, dan dengan penemuan bahawa tembok Yakjuj Makjuj di Darial Gorge telah pun pecah, maka tidak syak lagi bahawa semua ini adalah angkara dua kaum tersebut. Namun persoalannya pula, apa kaitan bangsa ini dengan kerosakan global yang datang dari peradaban Barat ini? InsyaAllah perkara ini akan dibincangkan dalam ayat yang akan datang (rujuk ayat 97&98: Zionis Adalah Yakjuj dan Makjuj).

ALANG IBN SHUKRIMUN
20 Ramadan 1441
13 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 13/5/2020