Dua ADUN Bersatu hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

LANGKAWI: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu hari ini mengesahkan pendirian hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dan seterusnya memberi sokongan kepada pembentukan kerajaan baharu di Kedah.

Advertisement

ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat, ketika dihubungi pemberita, berkata, keputusan tersebut dibuat supaya kepimpinan Bersatu negeri sealiran di peringkat pusat dan memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Speaker DUN Kedah itu juga memaklumkan, keputusan itu mendapat sokongan ahli-ahli Bersatu di peringkat akar umbi terutama di dun beliau.

“Keputusan ini juga dibuat supaya kami di peringkat negeri sealiran dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri. Jadi kami di peringkat negeri mahu ikut kepemimpinan peringkat persekutuan.

“Saya dah minta pendapat ahli di peringkat akar umbi. Mereka setuju dengan keputusan yang diambil. Kami ada bot baharu yang ‘mai’. Jadi kami ambil keputusan untuk naik bot itu,” katanya.

Sementara itu ADUN Kuah, Firdaus Ahmad, juga berpendirian yang sama malah beliau menolak dakwaan kononnya tindakan itu satu pengkhianatan “lompat parti” sedangkan beliau dan tiga lagi adun masih bersama parti Bersatu.

“Kami tidak lompat parti, kami tetap bersama Bersatu, cuma hala tuju dan arahan parti, kami ikut presiden yang ada sekarang ini,” jelasnya.

Semalam, empat ADUN Bersatu yang mewakili Guar Chempedak, Bukit Kayu Hitam, Kuah dan Ayer Hangat, tidak hadir bersama 19 ADUN lain dalam sidang media yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang dun Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor, di Kompleks PAS Kedah.

Ini berikutan, pihak mereka akan mengadakan sidang media berasingan untuk melibatkan bersama kepimpinan parti berkenaan semua peringkat.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah, hilang majoriti untuk meneruskan pentadbiran negeri di mana kedudukan sekarang, PN 23, yang melibatkan 15 PAS, dua BN, dua Bebas dan empat Bersatu, sementara PH 17, dua Bersatu, empat PAN, dua DAP dan lima PKR. – HARAKAHDAILY 13/5/2020