Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 20)

TADABUR melalui juzuk 20 hari ini meneliti mengenai ancaman dan bala daripada Allah S.W.T ke atas golongan yang kufur ingkar terhadap suruhan-Nya. Allah sangat murka terhadap golongan yang angkuh serta mencabar kekuasaan-Nya. Semasa para Rasul diutuskan, mereka turut diingkari serta diejek sehingga menular dalam sesebuah masyarakat dan negeri akan kebencian serta penentangan terhadap utusan Allah. Golongan pelampau lagi zalim ini akhirnya dibinasakan oleh Allah dengan kejahatan mereka sendiri sebagaimana firman Allah S.W.T:

Advertisement

وَكَمۡ أَهۡلَكۡنَا مِن قَرۡیَةِۭ بَطِرَتۡ مَعِیشَتَهَاۖ فَتِلۡكَ مَسَـٰكِنُهُمۡ لَمۡ تُسۡكَن مِّنۢ بَعۡدِهِمۡ إِلَّا قَلِیلࣰاۖ وَكُنَّا نَحۡنُ ٱلۡوَ ٰ⁠رِثِینَ

“Dan berapa banyak Kami binasakan negeri-negeri yang penduduknya telah berlaku sombong dan tidak bersyukur dalam kehidupannya. Maka itulah tempat-tempat tinggal mereka yang terbiar tidak didiami orang sesudah mereka (dibinasakan), kecuali sedikit sahaja dan sesungguhnya Kamilah yang mewarisi mereka.”

[al-Qasas: 58]

Apabila kita meneliti kepada sejarah, boleh dikatakan semua kaum yang mendustakan Rasul dan bersikap angkuh dengan membuat penentangan terhadap kuasa Allah dan para Rasul-Nya dimusnahkan dengan dahsyat sekali. Kaum Nabi Nuh A.S dimusnahkan dengan banjir besar, kaum Nabi Hud A.S binasa dengan angin kencang serta guruh yang kuat, kaum Nabi Luth A.S binasa dengan gempa bumi, angin kencang dan hujan batu sementara kaum Nabi Syuaib A.S binasa dengan hantaran hawa yang bersangatan panas.

Sesungguhnya Allah S.W.T tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hamba-Nya melainkan manusia itu sendiri yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka sendiri. Dalam syariat Islam, seseorang itu tidak dikira sebagai mukallaf sekiranya dia tidak menerima atau sampai kepadanya mengenai Islam. Walaupun mereka hidup dalam kesesatan, Allah tidak akan menurunkan bala akibat tidak sampai seruan Islam sehinggalah Allah mengutuskan para Rasul-Nya ataupun mereka sendiri yang bertindak zalim. Firman Allah S.W.T:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهۡلِكَ ٱلۡقُرَىٰ حَتَّىٰ یَبۡعَثَ فِیۤ أُمِّهَا رَسُولࣰا یَتۡلُوا۟ عَلَیۡهِمۡ ءَایَـٰتِنَاۚ وَمَا كُنَّا مُهۡلِكِی ٱلۡقُرَىٰۤ إِلَّا وَأَهۡلُهَا ظَـٰلِمُونَ

“Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Dia mengutuskan ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami. Dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.”

[al-Qasas: 59]

Bala apabila menimpa, ia bukan setakat terkena kepada orang jahat akan tetapi orang soleh yang ada di tempat tersebut turut menjadi mangsa. Allah S.W.T boleh mengirim bala kepada sesiapa sahaja sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman lampau dan Dia juga berkuasa menimpakan bala yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Pada zaman ini, terlalu banyak bala serta wabak yang baru muncul dan merbahaya. Bala ini muncul melalui wabak penyakit seperti HIV, selesema burung dan terkini virus Corona yang menjangkiti manusia agar mereka kembali ke kepada Allah. Bala yang menimpa menerusi penyakit tidak dapat dibendung dengan kuasa manusia melainkan dengan izin Allah S.W.T. Maka, untuk mengelak daripada terkena bala, kita dikehendaki memperbanyakkan doa kepada Allah S.W.T. Selain itu, kita dianjurkan agar bersabar atas ujian Allah serta menjaga SOP yang dikeluarkan oleh pihak berwajib bagi mengelakkan penularan. Nabi S.A.W mengajar umatnya agar sentiasa bermohon dengan Allah daripada sebarang penyakit berjangkit yang serius kerana apabila wabak mulai menular, ia sangat sukar untuk dibendung. Sabda Nabi S.A.W:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ وَالْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

(Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa’ie)

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
20 Ramadan 1441 / 13 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 13/5/2020