Kelantan lanjut operasi kedai makan hingga 10 malam

KOTA BHARU: Kelantan melanjutkan urusniaga kedai makan dan restoran sehingga jam 10 malam bermula esok, kata Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Beliau menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini tetap diteruskan seperti biasa antaranya penjarakan sosial serta premis makanan hanya dibenarkan bungkus sahaja.

Advertisement

Manakala katanya operasi kedai makan dan restoran selepas Ramadan akan bermula selepas tiga hari umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun menurutnya operasi premis berkenaan juga sehingga jam 10 malam.

“Dengan SOP yang kita tetapkan secara rasmi selepas tiga Hari Raya restoran dan kedai makan boleh dibuka seperti biasa, tetapi operasi sehingga jam 10 malam sahaja.

“Langkah ini dilakukan selepas kita membuat pertimbangan terhadap permohonan yang sangat banyak daripada rakyat untuk membuka kedai makan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Dato’ Hasanuddin Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato Dr Zaini Hussin.- HARAKAHDAILY 13/5/2020