Lailatul Qadr: Rahsia yang dicari-cari


إنا أنزلناه في ليلة القدر (1) وما أدراك ما ليلة القدر (2) ليلة القدر خير من ألف شهر(3 )
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar.(1) Dan apa jalankan engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?(2) Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.”(3)

Advertisement

Lailatul Qadar adalah malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. Malam yang hebat tapi disembunyikan dari pengetahuan manusia agar menuntut mereka untuk lebih gigih mencarinya di sepanjang bulan.

Sesuatu benda yang diperoleh dengan susah berbeza dengan sesuatu yang diperoleh dengan mudah. Perasaan sayang itu akan lebih berganda diibaratkan seperti kita membeli motosikal hasil daripada duit tabung yang dikumpul sejak kecil. Tentunya perasaan sayang akan lebih kerana mengumpulnya sangat susah.

Dalam hadis sahih ada diterangkan tiga tanda bagi mengenal Lailatul Qadar iaitu pada malam tersebut bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air.

Kedua, malam tersebut suasana nyaman, tidak panas dan tidak sejuk.

Ketiga, pada pagi hari selepas Lailatu Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau dan tidak terik.

Walaupun wujud tanda-tanda di atas, seseorang itu hanya akan dapat mengetahui dengan yakin setelah berakhirnya bulan Ramadan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir. Hikmah disembunyikan oleh Allah adalah supaya umat manusia berusaha bersungguh-sungguh mencarinya.

Itulah hikmah Allah mendidik keikhlasan dan kesungguhan dalam diri hamba-Nya. Rahmat Allah meliputi sekalian alam.

Lazimnya masyarakat kita hari ini, menjelang 10 akhir Ramadan kelak mereka akan berbicara mengenai persiapan hari raya, beraneka jenis juadah makanan dan balik kampung. Tidak salah untuk berbicara mengenai Aidilfitri bahkan kita juga dituntut untuk bergembira pada hari berkenaan, tetapi janganlah sampai kita menampi kaca dan mengabaikan intan.

Peluang membesarkan Allah dan membebaskan iman daripada simpulan nafsu pada malam-malam yang mulia itu menjadi sia-sia. Hilang nikmat didikan bulan Ramadan serta tiada erti hari raya sebagai hari kemerdekaan umat Islam setelah berpuasa.

Antara amalan penting pada malam yang berkat ini ialah doa mendapat kemaafan daripada Allah. Meminta maaf (العفو) berbeza dengan meminta keampunan (المغفرة) Kerana kemaafan ialah penghapusan dosa secara total tanpa sebarang parut. Manakala keampunan (المغفرة) ialah penghapusan dosa tetapi parut dosa masih lagi ada. Rasulullah S.A.W memberi tahu Saidatina Aisyah R.A, doa yang perlu dipanjatkan kepada Allah pada malam Lailatul Qadar ialah doa berikut:

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني
“Ya Alah, sesungguhnya Engkau yang Maha Pemaaf, Mulia, dan sukakan kemaafan. Oleh itu maafkanlah diriku.”

Doa ini mengajar kita untuk memohon ‘afiat daripada Allah. ‘Afiat merupakan antibodi yang menjadi benteng kepada rohani. Antibodi yang sihat, kuat dan bersih daripada segala penyakit akan terlindung daripada segala wabak meskipun dirinya ditengah-tengah orang yang sakit dan lemah. Demikian juga rohani kita, jika ada antibodi ia akan bertahan daripada cenderung melakukan maksiat. Antibodi itulah yang dipanggil ‘afiat.

Sabda Rasulullah S.A.W:

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
“Barangsiapa berpuasa dibulan Ramadan dan mendirikannya dengan penuh keimanan dan mengharap (reda Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketika orang beriman mula memikirkan bahawa selepas kehidupan ada kematian dan selepas kematian ada kehidupan serta balasan ganjarannya di akhirat kelak, mereka akan sanggup bersabar untuk melaksanakan perintah Allah. Membersihkan diri dan membebaskan imannya dari belengu nafsu syahwat yang menjauhkan dirinya dari rahmat Allah S.W.T.

Peluang malam yang penuh dengan kemaafan, rahmat dan kasih sayang Allah Yang Maha Luas ini merupakan hadiah bagi mukmin yang benar-benar ikhlas mencari keredaan Allah S.W.T. Itulah hakikat kemerdekaan dan kemenangan yang dicari orang bertakwa pada bulan Ramadan. 

Malam Lailtul Qadar adalah peluang bagi orang Islam mendapat sebesar-besar keampunan dari Allah S.W.T. Kembali pada fitrah seorang hamba pada Pencipta sekalian alam. Memperbaiki dan memperbaharui iman dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Menjadikan hamparan bumi sebagai ladang amal bagi seorang khalifah selari dengan apa yang ada dalam kitab-Nya (al-Quran).

WallahuAlam.

USTAZ HAJI KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Johor
Yang DiPertua PAS Kawasan Tebrau – HARAKAHDAILY 13/5/2020