Pinjaman pendidikan: Liabiliti yang membarah

ISU pinjaman pendidikan sebenarnya sangat panjang untuk dibincangkan. Untuk kali ini saya sekadar lontar beberapa isi penting yang berkait dengan liabiliti.

Topik pinjaman pendidikan juga sangat dekat dengan saya. Bukan saja kerana saya ada mempunyai pinjaman pendidikan tetapi kerana hidup saya dikelilingi oleh generasi peminjam pinjaman pendidikan selama hampir 10 tahun bertugas sebagai pensyarah IPTS.

Pinjaman pendidikan tidak terhad kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetapi merangkumi semua jenis pinjaman pendidikan termasuk daripada MARA, Yayasan Negeri dan lain-lain.

Advertisement

Pinjaman pendidikan hakikatnya ialah liabiliti kepada siswa. Liabiliti ialah kembar kepada duit keluar. Apabila ada liabiliti, bermakna akan ada duit keluar sekali atau berkali-kali (ansuran).

Apa siswa dapat?

Menyorot kembali tulisan saya sebelum ini, mari kita fikir semula. Apa yang anda dapat dengan pinjaman pendidikan itu? Dapat benda fizikal atau bukan fizikal? Jawapannya tentulah bukan fizikal.

Pendidikan sekarang ini ialah suatu bentuk perkhidmatan yang berbayar. Sama seperti anda menonton wayang yang anda bayar harga tiketnya. Apabila masyarakat didoktrin bahawa masuk pawagam ialah lambang kepandaian, maka semua pakat berlumba-lumba untuk masuk pawagam walaupun dia ialah si buta.

Lalu tumbuhlah pawagam persis tumbuhnya cendawan selepas hujan. Disebabkan harga tiket yang melambung tinggi, maka tampillah agensi tertentu menawarkan pinjaman kepada mereka yang tidak mampu membayar harga tiket.

Uniknya ialah setiap pawagam menjalankan ujian di akhir tayangan. Walaupun anda mengikuti tayangan filem hingga tamat, anda dianggap tidak pandai jika anda gagal dalam ujian tersebut. Jika mahu, anda perlu bayar semula harga tiket.

Sejarah pilu pinjaman pendidikan

Sebelum 1988, tidak ada istilah pinjaman pendidikan untuk siswa Malaysia (dahulunya Tanah Melayu) sebaliknya yang wujud ialah biasiswa. Biasiswa terawal setahu saya ditawarkan oleh Lembaga Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri yang ditubuhkan sejak 1948.

Pada tahun 1988 pinjaman pendidikan mula diwujudkan iaitu Tabung Pinjaman Pelajaran (TPP). Pada tahun 1997 ketika negara sedang bergelut untuk melepaskan diri daripada krisis kewangan, tiba-tiba lahir pula PTPTN sebagai ‘jalan penyelesaian’.

Pada tahun 2004 Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) diwujudkan. Lebih malang, pada tahun 2014 jumlah pinjaman pendidikan dikurangkan sebanyak 5 peratus untuk siswa IPTA dan 15 peratus untuk siswa IPTS malah data BR1M digunakan untuk menentukan jumlah pinjaman.

Maksudnya kini ibu bapa turut dikerah sama keluarkan duit untuk kos pendidikan anak-anak. Semata-mata mengharapkan pinjaman pendidikan, tak cukup. Tidak mustahil jika PTPTN pula dimansuhkan dan SSPN bergerak solo selepas itu.

Saya setuju jika disebut COVID-19 seharusnya menjadi ‘wake-up call’ kepada Kerajaan. Pemerkasaan zakat dan wakaf pendidikan ialah kaedah yang patut dipertimbangkan dalam keadaan sistem pinjaman pendidikan yang ‘berkepentingan’ ini terbukti tidak menyelesaikan bahkan semakin menambah masalah.

Kesengalan siswa

Episod yang lebih malang apabila siswa sendiri menyambut sistem yang semakin rosak itu dengan tabiat kewangan yang menakutkan. Banyak kajian yang dilakukan mengenai tahap pengurusan kewangan di kalangan siswa menunjukkan keputusan yang sama.

Salah satunya ialah kajian yang dijalankan oleh Mohamad Fazli Sabri dan Maurice MacDonald (2010) melibatkan seramai 2,519 siswa dari 11 IPT di Malaysia melaporkan seperti berikut:

(i) Lebih separuh daripada siswa tidak membuat simpanan daripada pinjaman pendidikan yang mereka terima.

(ii) Lebih separuh daripada siswa menghabiskan duit pinjaman pendidikan untuk ber’shopping’.

(iii) 45 peratus daripada siswa menghabiskan duit pinjaman pendidikan sebelum tamat semester.

Kesannya kita lihat 8 tahun kemudian apabila Bank Negara (2018) melaporkan:

(i) 20 peratus orang dewasa Malaysia yang bekerja tidak membuat simpanan dalam tempoh enam bulan sebelumnya.

(ii) 30 peratus orang dewasa Malaysia yang bekerja perlu meminjam wang untuk membeli barangan keperluan asas.

Barangkali siswa yang dikaji itu kini berumur 30 tahun dan sudah menimang cahaya mata. Jika tabiat kewangan yang sama masih berlaku, kajian lain menunjukkan bahawa kebarangkalian besar tabiat kewangan ibu bapa akan mempengaruhi tabiat anak mereka nanti.

Putuskan rantaian

Sebagai mana kita perlu putuskan rantaian COVID-19, kita juga perlu putuskan rantaian ‘sengal kewangan’ dalam diri kita. Saya selalu sebut bahawa fasa PKP ini adalah antara waktu terbaik untuk kita muhasabah soal kewangan masing-masing.

Ingat. Pinjaman pendidikan hakikatnya ialah liabiliti. Liabiliti bermaksud akan ada duit keluar. Jika adik-adik siswa masih belajar kerana ‘markah taala’ dan mengharapkan laluan kerjaya yang mudah dalam tempoh terdekat, fikir semula.

Saya tinggalkan adik-adik dengan potongan ayat al-Quran di bawah:

اِنَّ النَّفْسَ لَاَمَّارَةٌ ۢ بِالسُّوْۤءِ اِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّيْ

“Sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.”

(Yusuf: 53)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 13/5/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.