PN serah 23 SD kepada Sultan Kedah

KUALA LUMPUR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah menerima 23 akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah berhubung pertukaran kerajaan negeri itu yang melibatkan pertukaran Menteri Besarnya sebelum ini, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

Advertisement

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung PAS, Dato ‘ Takiyuddin Hassan melalui laporan portal berita online, hari ini.

Sebanyak 23 ADUN daripada 36 keseluruhan telah membuat keputusan untuk menyerahkan akuan bersumpah tersebut menyokong pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu menjadikan majoriti tidak menyokong kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Kesemua Presiden parti PAS, Umno, dan Bersatu dilaporkan telah menghadap Sultan Kedah di Istana baginda di Kuala Lumpur hari ini untuk menyerahkan 23 akuan bersumpah tersebut, kata Takiyuddin.

“Saya berada didalam mesyuarat tersebut bersama Baginda Sultan dan ketiga-ketiga presiden parti, iaitu PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka maklumkan kepada Sultan bahawa ketiga-ketiga parti bersetuju untuk mencalonkan calon yang ditetapkan di dalam 23 akuan bersumpah tersebut bagi menggantikan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

“Perjumpaan tersebut berlangsung secara tenang dan Baginda Sultan menerima akuan bersumpah itu,” jelas Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen).

Tambah beliau, 23 ADUN tersebut membuat keputusan untuk menghantar SD berikutan pandangan mereka bahawa lebih baik pertukaran kerajaan negeri ini dilakukan secara demikian berbanding mengusulkan Undi Tidak Percaya di Sidang Dun Kedah.

Dua ADUN PKR dan empat ADUN Bersatu semalam mengumumkan mereka sudah hilang kepercayaan kepada Mukhriz, tindakan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan Kedah.

Enam ADUN tersebut bersama-sama 15 ADUN PAS dan dua ADUN Umno membentuk majoriti Perikatan Nasional dalam DUN Kedah. – HARAKAHDAILY 13/5/2020