Tiada lagi amaran, nasihat – Menteri

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan banyak kes membabitkan ketidakpatuhan rakyat semasa pemeriksaan dilakukan terhadap peraturan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dikesan.

Advertisement

Penelitian menunjukkan tindakan fasa pendekatan secara berperingkat yang diwartakan sebelum ini, hanya dipandang enteng oleh sesetengah pihak.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan mesyuarat pagi tadi (semalam) telah memutuskan bahawa fasa nasihat dan amaran berakhir.

“Oleh itu, pihak polis diberikan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan dan SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

PDRM akan menjalankan tindakan tegas tersebut mulai hari ini, menggunakan akta yang dikuatkuasakan di bawah PKPB.

“Di bawah Akta 342, kesalahan melanggar peraturan dan SOP, boleh berdepan hukuman kompaun RM1,000.

“Jika dibawa ke mahkamah, hukumannya adalah RM1,000 maksima atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya semasa sidang media di Putrajaya semalam.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya patuh kepada perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Saya nak tekankan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa dan apabila kita melonggarkan (PKPB), rakyat mesti patuh kerana bimbang kes baharu akan berlaku dan kes positif Covid-19 meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2020