Tiga Presiden persembah 23 SD kepada Sultan Kedah

KUALA LUMPUR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah telah diserahkan Perakuan Berkanun (SD) daripada 23 ADUN Kedah yang menamakan calon baharu Menteri Besar negeri Jelapang Padi itu.

Advertisement

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan memaklumkan, serahan  itu telah dilakukan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dengan kedudukan DUN Kedah mempunyai 36 kerusi, serahan 23 SD tersebut bermakna Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir telah hilang majoriti walaupun masih bertegas berada di jawatan itu pada petang tadi.

Menurut Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), ketiga-tiga Presiden parti tersebut telah mengadap Sultan Sallehuddin dalam pertemuan dengan Baginda di istananya di Ibu Negara, di sini petang tadi.

“Mereka menyembah maklum kepada Tuanku Sultan bahawa parti mereka bersetuju dengan calon yang telah dinamakan dalam 23 SD tersebut untuk menggantikan Mukhriz sebagai MB Kedah.

“Tuanku Sultan menerima sembah maklum bersama SD tersebut di mana 23 ADUN memilih untuk mempersembahkan perakuan tersebut kepada Sultan berbanding dengan undi tidak percaya di Sidang DUN,” ujar beliau.

Mukhriz dalam pengisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Kedah menegaskan bahawa kedudukan beliau hanya boleh ditentukan menerusi Sidang DUN, di mana DUN Kedah telahpun bersidang baru-baru ini.

Perkembangan tersebut menyusuli situasi sama yang berlaku di Johor, Melaka dan Perak termasuk peringkat Kerajaan Persekutuan sejak BERSATU dan beberapa Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Ia disusuli peletakan jawatan oleh Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapat perakuan daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Akhirnya sejarah baharu politik negara tercipta apabila gabungan beberapa parti telah mengenepikan majoriti PKR, DAP dan PAN, sekali gus Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin telah diperkenan selaku Perdana Menteri Kelapan.

Situasi di Kedah kembali panas apabila dua ADUN PKR dari Lunas iaitu Azman Nasrudin dan Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee menyatakan sokongan kepada Muhyiddin disusuli sidang media khas gabungan PN Kedah di Alor Setar semalam. – HARAKAHDAILY 13/5/2020