Impian PH berkecai – Dr Zulkeflee

KOTA BHARU: Impian Pakatan Harapan (PH) bagi mengeruh lagi politik negara tidak kesampaian apabila persidangan Parlimen Isnin ini sekadar agenda titah perasmian Yang di-Pertuan Agong.

Sedangkan baru-baru ini PH menghantar usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Advertisement

Manakala usul kedua usul percaya terhadap Dr Mahathir dikemukakan Ahli Parlimen Warisan Dato’ Seri Shafei Apdal.

Pemerhati politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob berkata, undi tidak percaya terhadap Muhyiddin tidak kesampaian pada 18 Mei ini.

Katanya, persidangan tersebut selaras dengan peraturan 11(2) dan 15(2) berkaitan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Tiba-tiba Dr Mahathir makin meracau kononnya kerajaan menyekat usul yang akan dibawanya.

“Sedangkan semua orang tahu isu utama sekarang penularan wabak Covid-19. Itu lebih utama daripada memenuhi impian politik seorang pemimpin,” katanya di sini.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof semalam memberitahu Dewan Rakyat tidak bersidang selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada majlis perasmian mesyuarat pertama Isnin ini.- HARAKAHDAILY 14/5/2020