Labah-labah dan COVID, saling terkait

MELEBIHI empat juta manusia di dunia ini, disahkan positif COVID-19 yang secara tiba-tiba merebak ke seluruh pelosok benua. Bermula di China yang begitu parah menanggung sengsara, kemudiannya perlahan-lahan menyerang Itali, Sepanyol. Dan kini, Amerika, negara Uncle Sam yang didakwa paling maju itu, paling terkesan dengan 80,000 kematian, ketika artikel ini ditulis. Rusia juga ikut naik mendadak.

Tidak tertumpu kepada kadar pesakit yang positif dan juga bilangan kematian, lebih dari itu, ekonomi Amerika turut terkesan dengan penyakit ini. Dilaporkan kira-kira 20 juta rakyatnya hilang pekerjaan. Suatu teori asas ekonomi ialah, jika putaran ekonomi merosot, kadar inflasi tinggi, pengangguran juga akan naik dan secara bersama, kadar jenayah juga akan meningkat.

Oleh kerana US, China dan banyak negara-negara maju mengalami kemelesetan ini, maka negara-negara kecil lain, turut terpalit. Jaringan perniagaan banyak yang terpaksa dihentikan, menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Apabila tiada permintaan, mana mungkin pengeluaran dibuat. Jika tiada pengeluaran, dari mana tauke kilang mahu mendapatkan wang membayar gaji.

Advertisement

Kecelaruan ini kelihatannya akan berterusan sehinggalah vaksin dijumpai ataupun terbukti wabak ini terhenti dengan berbagai alasan, atas kehendak Allah. Maka ekonomi akan kembali pulih, bergerak seperti dahulu, menjana pendapat bagi rakyat sama ada miskin atau kaya. Tetapi bilakah pandemik ini akan beredar, itu kita tidak tahu.

Maha Besarnya Allah dari segala kekurangan. Dengan hanya virus yang bersaiz gandaan mengikut ukuran mikro, ia telah menyebabkan kucar-kacir dalam sistem pentadbiran dunia. Hanya dengan beberapa bulan sahaja, ada kawasan telah menjadi seperti kawasan tinggal. Terhenti semua putaran hidup. Ada yang dikatakan terpaksa dipilih untuk dimatikan kerana memberi peluang kehidupan kepada yang lain.

Dan jelas bagi insan yang mahu mengambil iktibar dari surah al-Ankabut yang menjelaskan betapa rapuhnya sistem yang kita ada. Ia seumpama sekuat sarang labah-labah sahaja. Apabila datang angin yang kuat, maka sarang itu akan diterbangkan jauh dari tempat asalnya. Seumpama berpaut di dahan yang rapuh. Pada bila-bila masa ia akan patah.

Namun bagi sesetengah manusia, mereka tetap merasa gagah. Mereka merasakan aturan hidup mereka itu sangat kuat, tiada yang dapat mengalahkan mereka. Ya benar, labah-labah merasakan sarang mereka sangat kuat. Mengembangkannya di antara dua tonggak bagi memerangkap mangsa. Dia boleh ke sana ke mari, menggunakan laluan itu tanpa bimbang ianya koyak.

Ini kerana labah-labah hanya memikirkan berat tubuhnya dan mangsa sahaja. Mangsa bergelut untuk melepaskan dirinya apabila terkena jerat itu. Sangatlah payah mahu membebaskannya dengan mudah. Itulah tanggapan mereka terhadap kekuatan sarang itu. Tetapi dia lupa dengan kekuatan kuasa luar yang dalam sekelip mata, dengan mudah menjahanamkan perangkapnya itu.

Hanya dengan satu gangguan, seluruh perangkapnya itu terpaksa dirombak dan dibuat semula. Atau lebih menyedihkan ia mungkin terkorban, musnah bersama sarangnya. Sama ada tidak disedari ataupun memandang enteng ancaman yang Maha Berkuasa, manusia tetap sombong. Mereka langsung tidak merasa gerun.

Ironinya, dinamakan keseluruhan sistem teknologi yang menguasai dunia, diyakini sangat maju dan tidak akan musnah sebagai ‘jaringan’ atau ‘net’. Saling tak tumpah seperti sarang labah-labah yang berjaring itu juga dipanggil ‘net’. Bayangkan sistem yang serba canggih ini sehingga boleh mengarahkan senjata nuklear dihalakan ke mana-mana sahaja, dipanggil dengan Artificial Intelligence ini, hanya dengan kehilangan sumber kuasanya, akan menjadi barang yang tidak berguna. Tidak boleh berfungsi.

Sebanyak mana duit di dalam bank, tidak boleh dikeluarkan kerana sistem rosak. Sehebat mana kereta, tidak dapat dijalankan kerana sistemnya mati. Sekuat mana senjata yang ada bagi memusnahkan musuh, tidak boleh digunakan kerana sistem tidak dapat membaca arahan. Maka apakah kehebatan sistem labah-labah yang kita ada? Ianya rapuh, boleh termusnah pada bila-bila masa.

Sudah dinukilkan dalam sejarah, penguasa dunia seperti Namrud, mati kerana nyamuk. Firaun kerana air, makhluk Allah yang kecil, lembik dan tidak segagah berbanding kekuatan tentera mereka pada pandangan mata. Namun ia menjadi kuat, perkasa apabila diperintahkan Allah untuk memusnahkan musuhNya. Akhirnya semua kita akan mati. Manakah arah kita selepas itu.

Sesungguhnya COVID, hadirnya hanya untuk menghina kita. Kita manusia kerdil tiada daya dan kuasa, tapi masih berlagak menyombongkan diri. Dan masih kita memilih berkelahi, bersengketa di waktu amaran Allah datang mengetuk pintu rumah kita. Jenis apakah kita ini?

MOHD NASIR ABDULLAH
14 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 14/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.