Masjid, surau terpilih boleh tunai solat Jumaat

PUTRAJAYA: Cadangan Pelaksanaan Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diusulkan dalam Muzakarah Khas, adalah satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Menteri Di Jabatan Perdana Menyeri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

Advertisement

Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Manakala katanya, bagi Wilayah Persekutuan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei 2020 bersamaan 21 Ramadhan 1441H telah memutuskan dan menerima titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat berkenaan bersetuju supaya semua masjid, surau jumaat dan surau- surau terpilih boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Lain-lain solat secara berjemaah di masjid, surau jumaat dan surau-surau terpilih dalam tempoh PKPB boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei berdasarkan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5, katanya.

Selain itu, mesyuarat juga memutuskan bahawa bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang dari 3 orang tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 orang.

Beliau berkata, keputusan tersebut adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan Senator Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan Perdana Menteri pada 12 Mei lalu.

Sehubungan itu, pihak masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri untuk mengawal keadaan.

“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Negara berhubung hal ini beliau bersetuju untuk memberi kerjasama penuh.AJK masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya.

“Saya dimaklumkan, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk makluman pihak jawatankuasa kariah masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih serta umat Islam di Wilayah Persekutuan,” tambah beliau.

Bagaimanapun ujarnya, berhubungan dengan bilangan jemaah, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.- HARAKAHDAILY 14/5/2020