Rakyat perlu manfaatkan MySejahtera, MyTrace

PAGI ini saya terbaca kisah seorang bapa yang terlalu rindukan anaknya, lalu berjalan kaki merentas beberapa negeri untuk pulang ke kampung halaman beliau di Kuala Terengganu. Beliau ditemui meninggal dunia sebelum sempat sampai ke Terengganu.

Ini sesuatu yang amat menyayat hati. Saya telah minta pegawai saya menyiasat siapa arwah dan keluarga mereka di mana. Kita tidak pernah tahu kesusahannya hinggalah kejadian ini dilaporkan media.

Yang lebih saya khuatirkan adalah ujian ke atas jenazah mendapati beliau positif COVID-19. Semasa beliau masih hidup, beliau sendiri pun tidak tahu beliau ada COVID-19 ini. Dan beliau telah berjalan kaki merentas beberapa negeri.

Di MOSTI dan semua Kementerian yang bertindak secara selaras dalam berdepan COVID-19, inilah antara isu yang sangat kritikal yang perlu kepada kerjasama dan pemahaman rakyat.

Advertisement

COVID-19 ini tidak disedari oleh mereka yang dijangkiti hinggalah selepas 14 hari, barulah tanda-tandanya seperti demam, batuk, sesak nafas, menggigil kelihatan. Malah ada yang semata-mata jadi pembawa tapi tidak beri kesan pada badannya tetapi tanpa sedar memindahkan COVID-19 ini dengan pelbagai cara sentuhan, pernafasan.

Kerana itulah kita ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SOP dan sebagainya. Saya ingin menyeru rakyat mengambil berat aplikasi MyTrace yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai penting dimuat turun ke telefon mudah alih tuan-tuan.

MySejahtera adalah aplikasi umum untuk penilaian kendiri. Pelengkap yang penting kepada MySejahtera adalah MyTrace. Ini enjin yang sebenar yang menjadikan aplikasi kedua-dua ini berkesan.

Ia demi kepentingan anda dan keluarga yang kita sayangi. Ia dalam keadaan menjamin privasi anda tetapi mengenalpasti semua orang yang pernah berdekatan dengan anda. Jika ada sebarang kes COVID-19 yang mana individu berkenaan pernah dalam tempoh tertentu berada dalam jarak berisiko dengan anda, dengan segera anda akan dibantu.

Muat turun MyTrace sekarang. Ia mungkin menyelamatkan banyak nyawa dengan tindakan segera anda.

AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 14/5/2020