Sambut perayaan dengan mematuhi SOP

PENGUMUMAN oleh Majlis Keselamatan Negara semalam berkenaan SOP sambutan perayaan Hari Raya, Gawai Dayak dan Keamatan adalah langkah yang tepat. Selain tidak menolak sepenuhnya untuk sambutan diadakan, keputusan tersebut menepati Maqasyid Syariah iaitu menjaga nyawa sebagai keutamaan berbanding perkara lain.

Nyawa rakyat adalah keutamaan berbanding perkara lain. Adapun tradisi sambutan perayaan sepatutnya tidak menjadi ruang untuk penularan wabak COVID-19 lagi. Semua pihak terutamanya pasukan barisan hadapan telah berlawan dengan virus ini sejak lebih 55 hari lepas. Tidak sepatutnya ruang dibuka untuk musuh kita masuk semula hanya kerana kita ingin keseronokan dalam perayaan dengan berpesta.

Soal ianya disambut atau tidak bergantung kepada cara kita. Sambutan tetap berlaku tetapi cara serta kaedah itu telah diberi peraturan oleh Kerajaan. Maka patuh kepada peraturan seperti tidak lebih dari 20 orang dalam satu masa perlu dipatuhi sepenuhnya. Ini juga terpulang kepada diri masing-masing untuk menerima kehadiran tetamu atau tidak. Tiada masalah dan tiada maksud kepada sambutan perayaan tidak diadakan. Kita percaya rakyat Malaysia sudah faham bahayanya wabak ini.

Advertisement

Kepatuhan rakyat Malaysia ini terbukti dalam tempoh lebih 50 hari yang lepas. Jika kita melihat semula dari PKP pertama memang ada segelintir yang tidak patuh arahan semasa. Tetapi setelah 4 PKP dilaksanakan kita sudah di tahap memahami tujuan serta menerima manfaat PKP ini seperti terkawalnya penularan wabak ini. Maka sewajarnya kita mendidik diri kita semua untuk terus patuh dalam ‘new normal’ ini termasuk untuk sambutan perayaan.

Bagi umat Islam, 1 Syawal adalah perayaan yang disyariatkan. Memaknakan sambutan kemenangan setelah sebulan mendidik diri untuk menjadi insan bertakwa itu adalah keutamaan berbanding berpesta tanpa sempadan. Adapun adat dan tradisi di Malaysia menyambut sehingga sebulan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan lebih kepada merapatkan silaturahim antara semua. Semoga keutamaan kita mematuhi SOP untuk perayaan ini akan melestarikan kehidupan kita pasca pandemik ini nanti.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 14/5/2020