Usul: Timbul polemik mengenai sikap Speaker – Dr Fathi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pembangkang berang susulan keputusan kerajaan menetapkan tiada persidangan Dewan Rakyat selepas Titah Diraja oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 18 Mei ini.

Advertisement

Menerusi kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau menyifatkan tindakan kerajaan seolah menyekat kebebasan bersuara wakil rakyat.

Sedangkan terdahulu keputusan kerajaan adalah muktamad bahawa persidangan hanya selama sehari daripada jadual ekoran pandemik Covid-19.

Mengulas isu berkenaan, Pensyarah Kanan, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata terlebih dahulu kerajaan membuat keputusan kerana beberapa situasi.

Katanya, terdapat usul-usul yang dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof termasuk usul supaya melanjutkan hari persidangan.

Jelasnya, jika usul yang dikemukakan diluluskan oleh Mohamad Ariff, tindakan tersebut adalah bercanggah dengan nasihat Kementerian Kesihatan iaitu mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 kerana ahli parlimen datang daripada lokasi seluruh negara

“Kita tahu bahawa terdapat usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, dalam hal ini timbul sama ada ianya dibuat untuk mengelakkan risiko beliau hilang kedudukannya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Muhammad Fathi berkongsikan pandangannya mengenai isu keputusan muktamad kerajaan mengehadkan persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 18 Mei ini hanya akan menyaksikan Titah Diraja menerusi akaun Facebooknya pagi tadi.

Ulasnya, sama ada Muhyiddin takut hilang kedudukan sebagai Perdana Menteri seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Teresa Kok atau untuk mengelak jangkitan Covid-19, semua itu terpulang kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Namun apa yang jelas katanya, timbul polemik mengenai sikap Mohamad Ariff dalam menentukan keputusan terhadap usul sidang Dewan Rakyat kerana beliau dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin PH.

“Dalam melihat persoalan ini juga kita wajar melihat satu situasi iaitu dari sudut kemungkinan bahawa apa yang diputuskan oleh kerajaan itu iaitu mengaplikasi dalam tempoh satu hari akan bertukar apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat membuat keputusan selepas mendapat undian dalam Dewan Rakyat.

“Ini berdasarkan kepada beberapa persoalan yang dikemukakan iaitu dari sudut sama ada Yang di-Pertua Dewan Rakyat benar-benar akan bersikap adil dan telus.

“Kerana terdapat isu atau pandangan mengatakan bahawa beliau adalah ahli parti Amanah (PAN) dan mempunyai pengalaman sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin di dalam parti Amanah (PAN) dan juga keluarganya mempunyai kaitan dengan beberapa orang yang aktif di dalam kepimpinan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berpandangan jika usul undi tidak percaya ini berjaya, akan timbul satu situasi persoalan yang mempunyai dua kemungkinan.

Yang pertama katanya, Perdana Menteri akan menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen yang akan membawa kepada pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari dalam situasi negara sedang berdepan wabak Covid-19.

Kedua, jika sekiranya Yang Di-Petuan Agong tidak mahu membubarkan parlimen, mungkin Perdana Menteri menasihati Yang Di-Pertuan Agong.

Ia (Perdana Menteri) sekadar meletakkan jawatan dan Yang Di-Pertuan Agung akan menentukan siapakah calon lain yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Terdapat dua calon yang nyata kelihatan ingin menjadi Perdana Menteri yang pertamanya Tun Dr Mahathir sendiri dan kalau kita boleh perhatikan usul yang dikemukakan oleh Dato’ Shafie Apdal adalah menyatakan kepercayaan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Dalam masa yang sama kita boleh lihat bagaimana sikap Tun Dr Mahathir terhadap Dato’ Sri Anwar Ibrahim yang menyebut bahawa Anwar ‘Crazy for PM post’ dan beberapa kenyataan beliau bersama Sinar Harian.

“(Yang) menggambarkan bahawa beliau tidak akan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dalam hal ini saya dapati di pihak Anwar pula bertegas untuk mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri bahkan beliau menyatakan kedudukan beliau sekarang ini sebagai Ketua Pembangkang,” tambahnya.

Hal ini katanya dijelaskan di dalam beberapa kenyataan dari PKR beberapa bulan lalu bahawa PKR tidak lagi meletakkan harapan kepada Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sebaliknya memilih Anwar sebagai calon. – HARAKAHDAILY 14/5/2020