Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (55)

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا

“Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.””

Intisari penting

(1) Besi dan tembaga

At-Tabari menjelaskan, kaedah pembinaan tembok tersebut adalah dengan menyusun bongkah-bongkah besi secara berlapis-lapis di celah dua gunung sehingga menyamai ketinggian gunung. Selepas itu, besi tersebut dibakar hingga kemerahan, lalu dituangkan tembaga cair bagi memastikan kedua material tersebut bercantum dan membentuk satu tembok yang sangat kukuh.

Besi dan tembaga merupakan dua keajaiban alam yang perlu dikaji. Az-Zuhaili menjelaskan ia adalah elemen penting dalam kejuruteraan dan pembinaan dahulu hingga sekarang. Dr Ir Khalid Faiq al-Ubaidi menulis kitab khusus bertajuk تفصيل النحاس والحديد في الكتاب المجيد (Keterangan Tembaga dan Besi dari al-Quran) bagi menghuraikan kelebihan dua material ini.

Firman Allah menjelaskan bahawa ianya adalah material yang kuat:

وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ

“Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia.”

[al-Hadid: 25]

Ibrah akhir zaman

Selain emas dan perak, besi dan tembaga adalah dua logam yang paling banyak disebutkan di dalam al-Quran dan Hadis. Keempat-empat logam ini menjadi bahan paling penting dalam kehidupan manusia. Menurut Dr Ir Khalid Faiq al-Ubaidi, dunia moden hari ini memperakui bahawa besi dan tembaga merupakan dua material yang paling banyak digunakan dalam mana-mana industri.

Perkara ini tidak perlu dibuktikan lagi. Kita sendiri boleh melihat di sekeliling kita. Kebanyakan kegunaan harian terdiri daripada dua perkara ini baik alatan elektrik, elektronik, binaan, kenderaan, perkakas rumah dan sebagainya tidak mampu dihasilkan tanpa material ini.

Golongan berlatarbelakangkan ilmu moden yang menjadi teras kemajuan global hari ini seperti ilmu fizik kimia, kejuruteraan, astronomi, geologi, matematik, IT pasti akan menjumpai dua material ini dalam kajian mereka. Mereka yang pernah mempelajari jadual berkala (periodic table) pasti akan menemui keajaiban jika dikaji kedudukan dua material ini di dalam nas.

Ringkasnya, dua logam ini menggambarkan kecanggihan zaman moden sekarang. Inilah zaman yang Rasulullah S.A.W ceritakan kecanggihannya dalam Hadis-hadis yang terlampau banyak. Antara sabda Rasulullah yang difahami sebagai kereta dan kenderaan moden:

سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتي رِجالٌ يركَبونَ على سُروجٍ كأشباهِ الرِّحالِ

“Akan berlaku pada akhir umatku manusia menaiki sesuatu seperti pelana yang sangat selesa.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Namun ramai juga ulamak membayangkan bahawa di akhir zaman nanti, segala kecanggihan ini tak dapat digunakan lalu manusia akan kembali hidup secara tradisional. Antaranya Hadis yang menggambarkan peperangan (malhamah) di mana manusia kembali menggunakan pedang dan kuda. Sabda Rasulullah:

فَبيْنَما هُمْ كَذلكَ إذْ سَمِعُوا ببَأْسٍ، هو أَكْبَرُ مِن ذلكَ، فَجَاءَهُمُ الصَّرِيخُ، إنَّ الدَّجَّالَ قدْ خَلَفَهُمْ في ذَرَارِيِّهِمْ، فَيَرْفُضُونَ ما في أَيْدِيهِمْ، وَيُقْبِلُونَ، فَيَبْعَثُونَ عَشَرَةَ فَوَارِسَ طَلِيعَةً، إنِّي لأَعْرِفُ أَسْمَاءَهُمْ وَأَسْمَاءَ آبَائِهِمْ، وَأَلْوَانَ خُيُولِهِمْ، هُمْ خَيْرُ فَوَارِسَ علَى ظَهْرِ الأرْضِ يَومَئذٍ، أَوْ مِن خَيْرِ فَوَارِسَ علَى ظَهْرِ الأرْضِ يَومَئذٍ

“Ketika mereka dalam keadaan seperti itu, mereka mendengar bencana yang lebih dahsyat. Tiba suatu jeritan memberitahu bahawa Dajal telah mengambil tempat mereka di kalangan keluarga mereka. Tatkala itu mereka mencampakkan apa-apa di tangan dan terus menuju pulang. Mereka turut menghantar 10 orang tentera berkuda sebagai peninjau. Aku tahu nama-nama mereka, nama bapa mereka dan warna kuda mereka. Mereka akan menjadi tentera berkuda yang paling handal di muka bumi ini pada masa itu atau antara yang terhandal.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Ramai yang berteori bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Antara pandangan yang masyhur adalah berpunca daripada gangguan medan magnetik bumi (geomagentic field). Boleh jadi daripada hentaman meteor, kesan perang nuklear ataupun peralihan medan magnetik di kutub Utara yang terlalu pantas sebagaimana yang dilaporkan sejak 2019 yang lalu.

Perkara ini akan menyebabkan semua alatan yang dicipta daripada logam tidak dapat berfungsi. Bukan itu sahaja, malah gelombang elektromagnetik turut akan terganggu. Ini menyebabkan teknologi informasi (IT) yang menjadi tunjang IR4.0 juga tidak dapat berfungsi.

TV, radio, satelit, smartphone, semua perkakas canggih tidak mampu berfungsi. Tambahan dunia sedang bergerak ke arah Internet of Things (IoT), boleh dikatakan semua peralatan manusia akan tidak berfungsi nanti.

Ini mungkin menakutkan. Tetapi jika dilihat dari sisi positif, mungkin ia bentuk pertolongan Allah kepada pejuang akhir zaman. Teknologi yang ada hari ini dikuasai oleh orang kafir sama ada Timur mahupun Barat. Selain China, antara teraju utama industri siber adalah Yahudi Zionis. Mereka boleh manipulasi kecanggihan ini untuk mengalahkan umat Islam (rujuk ayat 79: Fikrah Perjuangan Al-Mahdi & Keselamatan Siber).

Namun tanpa alatan canggih ini, mereka hilang segala kekuatan. Zionis hanya berselindung di sebalik senjata canggih, namun hakikatnya pengecut bila berhadapan dengan orang Islam. Sudah berapa kali dilaporkan, apabila tentera Israel tidak memiliki senjata, mereka akan lari lintang pukang berhadapan dengan kanak-kanak yang bersenjatakan batu sahaja. Firman Allah S.W.T:

لَأَنتُمْ أَشَدُّ رَهْبَةً فِي صُدُورِهِم مِّنَ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ. لَا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَوْ مِن وَرَاءِ جُدُرٍ

“Sesungguhnya kalian sangat ditakuti di hati mereka lebih dari Allah kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti. (Orang-orang Yahudi dan munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di belakang benteng kukuh, atau dari sebalik tembok.”

[Al-Hasyr: 12-13]

Justeru umat Islam perlu bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini. Walaupun teknologi semasa perlu digunakan, namun perlu juga dibuat persiapan dari sudut kekuatan jasmani bagi menghadapi saat-saat kita kembali hidup di zaman tanpa peralatan canggih.

Antaranya adalah dengan mempelajari seni mempertahankan diri, memasak, mendirikan khemah, menunggang kuda, berenang, memburu dan semua ilmu yang dahulunya menjadi kewajipan kepada semua manusia. Pesan Saidina Umar;

“Ajarilah anakmu tiga perkara; berenang, memanah dan berkuda.”

InsyaAllah dengan ketiga ilmu ini sebagai asas, generasi akan datang mampu menjadi pejuang Islam dan tentera al-Mahdi, InsyaAllah.

ALANG IBN SHUKRIMUN
22 Ramadan 1441
15 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 15/5/2020