Kamarudin iring MP Jasin serah pampasan nelayan

Ahli Parlimen Jasin, Dato' Seri Ahmad Hamzah menyerahkan baki pampasan kepada nelayan di Pantai Siring, Pulai. Turut disaksikan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik (berkopiah).

JASIN: Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik telah mengiringi Ahli Parlimen Jasin, Dato’ Seri Ahmad Hamzah dalam satu majlis penyerahan pampasan kepada nelayan di Pantai Siring, Pulai.

Pampasan tersebut adalah untuk para nelayan yang terjejas pendapatan akibat daripada Projek Penghantaran Bekalan Elektrik ke Pulau Besar dari Pantai Siring pada tahun 2013 yang lalu.

Ahmad Hamzah yang juga Timbalan Menteri (1) Pertanian dan Industri Makanan Majlis berkata, program yang diadakan itu bertujuan untuk menyerahkan baki sumbangan saguhati tersebut yang berjumlah RM199,600.00 daripada jumlah keseluruhan RM285,000.00 yang sebahagiannya telah diterima nelayan tersebut sebelum ini.

Advertisement

“Jumlah nelayan yang menerima manfaat tersebut adalah seramai 62 orang yang terdiri daripada 52 orang pemilik bot dan 10 orang awak-awak.

“Pemilik bot akan menerima bayaran saguhati berjumlah RM3,500.00 manakala awak-awak akan menerima bayaran berjumlah RM1,760.00 iaitu separuh daripada jumlah yang diterima oleh pemilik bot,” jelas beliau ketika ditemui di sini semalam.

Dalam majlis yang sama, seorang nelayan tempatan, Ishak Harun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) telah menerima sumbangan enjin bot 40 kuasa kuda juga sumbangan dari Ahli Parlimen Jasin tersebut.

Sementara itu Kamarudin yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Jasin dalam majlis yang sama turut memberikan sumbangan peribadi berbentuk barangan makanan kepada Ishak.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’Seri Ahmad Hamzah atas jemputan kepada pihak PAS untuk bersama-sama membantu dan menjayakan program ini dan berdoa sempena 10 malam akhir Ramadan ini, semoga program ini mendapat keberkatan dari Allah.

“Kita juga berasa kagum dengan kehadiran ahli Parlimen Jasin, ADUN Serkam dan wakil PAS Serkam turut bersama-sama hadir turun padang dalam cuaca yang panas di bulan Ramadan ini untuk bersama merasa denyutan nadi rakyat.” ujar Kamaruddin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Dato’ Zaidi Atan, ADUN Merlimau, Dato’ Roslan Ahmad, ADUN Rim, Dato’ Wira Ghazalee Mohamed dan barisan Ahli Jawatankuasa PAS DUN Serkam.- HARAKAHDAILY 15/5/2020