Memperingati Hari Naqbah Palestin 15 Mei 1948

Perutusan Khas Presiden PAS

Advertisement

PALESTIN dan Baitul Maqdis adalah isu umat Islam dan kemanusiaan sejagat. Perjuangan membebaskan bumi suci ini adalah perjuangan yang tiada noktah hentinya.

Isu Baitul Maqdis telah menemukan umat Islam bermazhab Sunni dan Syiah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan menyedarkan golongan yang tenggelam dalam pelbagai ideologi politik masing-masing. Ia boleh menyatukan umat Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab.

Perlu ditegaskan bahawa Palestin dan Baitul Maqdis adalah milik Islam yang mampu menunjukkan keadilan terhadap semua. Inilah janji Allah SWT kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa AS, dua orang nabi yang turut menjadi kebanggaan kaum Yahudi.

Ketegasan yang perlu dinyatakan bahawa kumpulan Zionis tidak layak berada di bumi Palestin kerana kezalimannya di luar daripada janji Allah SWT kepada Nabi Ibrahim A.S.

Bahkan mereka juga menentang kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa AS serta perjuangan mereka bukannya menegakkan Kitab Allah, sebaliknya hanya menegakkan fanatik kebangsaan Yahudi.

Tegaknya negara haram Israel itu pada 15 Mei 1948, adalah hasil pengkhianatan golongan yang menolong musuh dengan menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah.

Kemudian disusuli dengan Perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour, membahagikan tanah air kepunyaan umat Islam kepada kalangan yang memusuhi Islam.

Zionis merampas tanah suci Palestin, bumi para anbiya’ AS yang wajib dipertahankan oleh umat Islam yang beriman.

Ditubuhnya sebuah negara haram Israel dengan cara merompak di siang hari dengan alasan sejarah yang sesat daripada ajaran para Rasul AS, bahkan kaum Yahudi itu membunuh sebahagian para Rasul dan ulama’ yang soleh.

Mereka kini menunjukkan keangkuhannya dengan mengisytiharkan kepada seluruh dunia, bahawa bumi Palestin hanya kepunyaan bangsa Yahudi, bangsa lain tidak berhak menjadi rakyat. Kemudiannya diikuti dengan tindakan menceroboh secara beramai-ramai ke dalam Masjid al-Aqsa dengan kawalan pasukan keselamatan yang bersenjata.

Langkah menjadikan Baitul Maqdis sebagai milik Yahudi, bahkan ke atas bumi Palestin seluruhnya adalah satu pengkhianatan yang besar terhadap para nabi, termasuk nabi-nabi daripada keturunan Bani Israel. Umat Islam tidak seharusnya mengiktiraf pengkhianatan dan kezaliman rejim Zionis Yahudi tersebut.

Apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT terhadap umat Islam. Walaupun Allah berjanji bahawa akan tiba ajal bagi negara haram Israel dan pejuangnya, di mana bumi Palestin pasti menjadi kubur kaum Zionis, namun rakyat Palestin tidak boleh dikalahkan walaupun dikecewakan.

Umat Islam terus berkewajipan menjadi hamba Allah SWT yang menunaikan janjinya, bukannya menunggu janji Allah tanpa amalan dan jihad, laksana pungguk merindukan bulan.

Sabda Rasulullah SAW:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ، قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ”.

“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang akan sentiasa berjuang bersama-sama dengan kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak akan dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian. Maka para sahabat bertanya: “Di manakah mereka?”. Rasulullah menjawab: “Di Baitul Maqdis dan sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320)

Percayalah bahawa perjuangan rakyat Palestin yang berteraskan iman tidak mungkin dipadamkan. Percayalah juga bahawa takhta dan harta yang mengecewakan rakyat Palestin akan tumbang ditelan zaman.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Ramadhan 1441 / HARAKAHDAILY 15/5/2020