Syeikh Izzuddin benteng depani tentera Tatar

SYEIKH Izzuddin bin Abdus Salam lahir di bumi Damsyiq pada tahun 577H. Beliau merupakan ulamak ulung pada era tersebut yang berdedikasi, amanah dan berwibawa dengan ilmunya serta tidak takut untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh pemerintah.

Gelaran Sultan Ulamak

Menurut Syeikh Ibnu Daqiq Al ‘Id yang merupakan anak muridnya yang memberikan gelaran kepada Syeikh Izzuddin dengan gelaran Sultan Ulamak. Ini disebabkan oleh perwatakan beliau yang merupakan tokoh yang menggabungkan di antara ilmu dan amal, di antara mengikut sunnah secara ekstrem dengan ijtihad yang benar ketika memerlukan, di antara fatwa di dalam urusan akidah dan ibadah dan fatwa dalam urusan politik dan sosial. Maka selayaknya beliau mendapat gelaran Sultan Ulamak, sebagai qudwah buat semua pendakwah dan mereka yang menjalankan tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Advertisement

Menegah pakatan dengan tentera Salib

Sultan Ulamak hidup pada era pemerintahan Sultan Soleh Ismail Ayyub, sebagai pemimpin di Damsyiq. Beliau merupakan saudara kepada Sultan Soleh Najmuddin Ayyub yang merupakan pemerintah di Mesir. Walaupun mereka keduanya bersaudara, tetapi Sultan Soleh Ismail mempunyai nafsu untuk menguasai Mesir dan menyerangnya. Demi kepuasan nafsunya untuk berkuasa ini menyebabkan Sultan Soleh Ismail sanggup untuk membuat pakatan bersama Pasukan Salibiah di Syam. Pakatan tersebut dibuat dengan menggadaikan dua kota milik umat Islam iaitu Kota Soid dan Shaqif. Seterusnya mereka juga dibenarkan untuk membeli senjata dari Damsyiq dengan syarat bersatu untuk memerangi pihak Ayyubi di Mesir.

Apabila berita ini sampai ke pengetahuan Sultan Ulamak, lantas beliau berkhutbah di atas mimbar membantah keras perbuatan Sultan Soleh Ismail. Tidak selayaknya bagi pemimpin untuk menggadaikan tanah hak milik umat Islam seakan-akan ia hak milik peribadi, bahkan haram untuk menjual senjata kepada musuh Islam, lebih-lebih lagi yang akan memerangi umat Islam di tempat lain pula. Begitulah ketegasan dan kesungguhan Sultan Ulamak dalam menangani kerosakan di pihak pemerintah.

Diarahkan mencium tangan Sultan, apa responnya?

Kesan daripada tindakannya, Sultan Ulamak telah dilucutkan jawatan sebagai Qadhi Damsyiq, dilarang untuk berkhutbah dan dipenjarakan beberapa tahun. Setelah dibebaskan, masih lagi beliau dilarang untuk mengajar dan berkhutbah lalu membuat keputusan untuk berhijrah ke bumi al-Quds supaya dapat menyebarkan ilmu di sana daripada berterusan berada dalam keadaan diam di Damsyiq.

Syeikh Izzuddin sempat berada beberapa bulan di Palestin untuk mengajar dan berdakwah di sana. Tak lama kemudian, rombongan Sultan Soleh Ismail bersama pemuka Salibiah tiba di Palestin dengan tujuan mahu berbincang pelan menyerang Mesir. Ketika itulah Sultan Soleh Ismail menghantar wakil untuk bertemu dengan Syeikh Izzuddin untuk menawarkannya kembali ke jawatan Qadhi Damsyiq dengan syarat tidak berbicara soal politik. Jika tidak, beliau akan dipenjarakan semula, dan diarahkan juga untuk Syeikh Izzuddin mencium tangan Sultan Soleh!

Apa respon balas Syeikh Izzuddin?

Katanya dengan penuh keizzahan:

“Demi Allah duhai si miskin, aku tidak redha untuk dia mencium tanganku, apatah lagi untuk aku pula mencium tangannya. Wahai kaumku, kalian berada di satu lembah, dan aku pula di lembah lain. Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan aku daripada bala bencana yang menimpa kalian” (iaitu tidak terheret untuk berada dalam kelompok yang sama).”

Respon ini mengheret sekali lagi Syeikh Izzuddin untuk dipenjarakan semula, tetapi kali ini beliau ditahan di Palestin.

Kehinaan Sultan di hadapan musuh Islam

Syeikh Izzuddin ditempatkan di dalam khemah rombongan Sultan Soleh Ismail. Suatu hari ketika Syeikh Izzuddin membaca al-Quran di dalam khemahnya, Sultan Soleh Ismail sedang berbual-bual bersama pemuka Salib dan suaranya didengari oleh mereka. Lantas Sultan Soleh Ismail menyebutkan kepada pemuka Salib:

“Apakah dikau mendengar suara si tua yang membaca al-Quran itu?”

Dijawabnya:

“Ya, sudah tentu aku mendengarnya.”

Kata Sultan Soleh Ismail:

“Itulah Ulamak Besar bagi umat Islam, tetapi aku memenjarakannya kerana dia ingkar perintah aku, dia juga dipecat dan tidak dibenarkan untuk berkhutbah lagi. Hari ini sekali lagi dia dipenjarakan di sini (Palestin) demi memenuhi tuntutan kalian.”

Ucapan ini pada sangkaan Sultan Soleh Ismail demi meraih perhatian dan keyakinan mereka terhadapnya, tetapi air mukanya dijatuhkan apabila pemuka Salib itu menjawab:

“Kalaulah dia ini Ulamak kami, nescaya akan kami cuci kedua kakinya dan kami minum air basuhan kaki itu!”

Bumi Mesir memuliakan Sultan Ulamak!

Syeikh Izzuddin dipenjarakan di Palestin hingga tibalah Sultan Najmuddin Ayyub yang mengembalikan semula al-Quds dari tangan pihak Salibiah pada tahun 643H, lalu mengeluarkan Syeikh Izzuddin daripada tahanan lalu dibawa pulang ke Mesir. Syeikh Izzuddin dimuliakan oleh Sultan Najmuddin sesuai dengan ketinggian ilmunya, lalu diberikan jawatan Qadhi dan berkhutbah di Masjid Amru bin Al `Aas.

Pada peringkat awal, berlaku ketegangan di antara Syeikh Izzuddin dengan Sultan Najmuddin. Hal ini disebabkan beliau mempertikai keabsahan Kerajaan Mamalik yang terdiri dari kalangan hamba. Perkara ini ditentang sekeras-kerasnya oleh Sultan Najmuddin dan tidak mahu mengikut pandangan tersebut. Lantas Syeikh Izzuddin membuat keputusan sekali lagi untuk meninggalkan Kaherah dan berpindah ke kawasan terpencil memandangkan tidak ada gunanya beliau diberi jawatan sekiranya pandangannya tidak diterima pakai oleh Kerajaan.

Apabila Syeikh Izzuddin mahu keluar dari Kota Kaherah, rupa-rupanya ramai dalam kalangan rakyat biasa yang begitu mencintainya dan mahu mengikut beramai-ramai keluar dari Kaherah tanda protes kepada pemerintah. Akhirnya Sultan Najmuddin Ayyub akur dan menerima pandangan Syeikh Izzuddin untuk dilaksanakan. Adalah suatu yang tidak patuh syariah untuk golongan hamba menjadi pemerintah kecuali mestilah dibebaskan terlebih dahulu hamba-hamba itu dijual, kemudian dibebaskan lalu hasil jualan tersebut dimasukkan semula ke dalam Baitul Mal.

Fatwa yang mengundang nusrah Allah

Kita mungkin tidak membicarakan secara keseluruhan kisah Syeikh Izzuddin bin Abd Salam dalam tulisan ini. Yang menjadi tujuan utama penulisan ini adalah keputusan yang dibuat oleh beliau ketika mahu berhadapan dengan pasukan Tatar. Ketika berhadapan dengan Tatar, usia Syeikh Izzuddin telah pun melebihi 80 tahun. Tetapi ternyata ia bukan suatu yang menjadi kelemahan buat beliau, sebagaimana Abu Ayyub Al-Ansari, begitu juga Syeikh Ahmad Yasin dengan kerusi roda dan suaranya yang begitu halus, tetapi cukup digeruni oleh musuh Islam.

Di antara permasalahan utama untuk menghadapi Tatar adalah persoalan kewangan Negara yang meruncing. Tambahan pula, Tatar tidak memberi ruang yang panjang untuk umat Islam membuat persiapan secukupnya. Oleh sebab itu, ia memerlukan kepada Qutuz untuk mendapatkan perolehan dengan jalan yang singkat.

Qutuz mencadangkan supaya dikutip cukai dari setiap rakyat dengan alasan kukuh iaitu untuk mendepani musuh Islam. Tetapi, cadangan itu mestilah mendapat fatwa yang jelas daripada Ulamak Ummah sekiranya mahu berbuat demikian. Umat Islam tidak mengetahui adanya cukai lain selain zakat, jizyah dan kharaj yang telah difahami maksudnya. Maka jika adanya jalan lain untuk dikenakan terhadap rakyat, ia perlu diberikan penjelasan yang tuntas melalui al-Quran mahupun Sunnah.

Qutuz menanti pandangan para Ilmuan Islam, termasuklah Ulamak Ummah, Sultan Ulamak Syeikh Izzuddin bin Abd Salam. Beliau berkata:

“Sekiranya musuh menyerang sesebuah Negara, menjadi kewajipan untuk seluruh alam (iaitu Wilayah Islam) untuk melawannya. Dan diharuskan untuk mengambil daripada rakyat apa-apa yang diperlukan untuk persiapan tersebut (selain daripada zakat) dengan syarat, hendaklah mengosongkan terlebih dahulu Baitul Mal. Adapun syarat kedua dan inilah syarat yang lebih sukar untuk dipenuhi, kata beliau lagi “Hendaklah para pemimpin dan jamaah Menteri menjual semua harta benda dan barang perhiasan yang menjadi milik kalian terlebih dahulu.”

“Yang hanya boleh ada pada kalian hanya kuda yang akan ditunggangi ke medan dan senjata untuk berperang sahaja, kalian mestilah menyerupai (sama) dengan apa yang ada pada rakyat. Adapun mengambil harta orang ramai dalam keadaan tidak diambil dari harta-harta kalian, ia adalah suatu yang diharamkan!”

Syeikh Izzuddin menambah lagi ucapannya terhadap Qutuz, katanya:

“Sesungguhnya, haram untuk pemerintah mengenakan cukai terhadap rakyatnya kecuali apa yang dimiliki oleh pemimpin menyamai dengan apa yang dimiliki oleh rakyat, dan kelengkapan untuk berperang diambil dari harta pemimpin dan Menteri-menteri terlebih dahulu. Sekiranya masih belum mencukupi barulah dibenarkan untuk mengenakan cukai terhadap rakyat pada kadar yang berbaki tersebut sahaja untuk menyempurnakan peralatan tersebut, tidak lebih dari itu.”

Resepi menjemput nusrah Allah

Dengan sepenuh hati, Qutuz menyambut fatwa daripada Sultan Ulamak Syeikh Izzuddin Abd Salam, Qutuz menjual dan seluruh harta miliknya kemudian disambut pula oleh semua pemimpin dan Menteri-menteri tanpa berbelah bahagi! Suatu yang amat mengejutkan, apabila dihimpun semua harta-harta tersebut, ternyata ia lebih daripada mencukupi untuk menampung seluruh keperluan pasukan umat Islam.

Inilah antara resepi utama mengapa Allah Ta’ala memberi kemenangan buat umat Islam dalam peperangan Ain Jalut. Apabila kesungguhan untuk melaksanakan perintah Allah dibuat, Allah memberikan jalan keluarnya. Untuk menjemput pertolongan Allah, perlulah memenuhi kriteria kehendak Allah. Tidak mungkin bantuan Allah akan hadir pada mereka yang hartanya diambil dari jalan yang diharamkan lalu melaungkan slogan demi Islam.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 15/5/2020