e-COVID kumpul data lebih cepat – KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan usaha pemurnian data-data berkaitan Covid-19.

Advertisement

Hasil kerjasama daripada KKM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), satu sistem pangkalan data telah dibangunkan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sistem ini dikenali sebagai e-COVID di mana ianya dapat memastikan pengumpulan data daripada lapangan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.

“Tambahan pula, penyeragaman sistem data makmal dari kesemua makmal Covid-19 iaitu makmal-makmal KKM, universiti, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), hospital angkatan tentera dan juga makmal swasta telah dipertingkatkan dengan menggunakan Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” katanya.

Menurut beliau, sistem ini telah dibangunkan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan telah mula digunakan oleh kesemua makmal Covid-19 mulai pertengahan April 2020.

“Ini adalah merupakan satu pencapaian yang baik berbanding dengan sebelum ini, di mana data dari lapangan dan makmal telah dilaporkan secara manual.

“Sehingga semalam, KKM melaporkan 297,342 individu sudah menjalani ujian Covid-19 dengan 6,819 daripada jumlah berkenaan disaring positif.

“Dengan penggunaan sistem pengumpulan data yang lebih baik ini, KKM ingin memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, kami sudah menyaring 424,306 individu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 6,855 orang adalah positif Covid-19 dan 417,451 orang adalah negatif. Ini menjadikan kadar positif adalah sebanyak 1.62 peratus. Manakala, bilangan individu yang disaring adalah sebanyak 13 orang bagi 1,000 orang populasi.

“Ini menunjukkan Malaysia antara negara yang menjalankan ujian saringan Covid-19 yang paling banyak dalam kalangan negara ASEAN,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini, semalam. – HARAKAHDAILY 16/5/2020