Mat Sabu nak turun ke jalanan?

PRESIDEN PAN kebelakangan ini jarang-jarang mengeluarkan kenyataan terutama sejak hilang jawatan Menteri. Tetapi sekali beliau bercakap, bagaikan hali lintar, punah-ranah dibikinnya. Ternyata Mat Sabu tidak berpuas hati dengan keputusan terbaru Speaker tidak mengizinkan sebarang usul atau perbahasan pada persidangan Parlimen Isnin 18 Mei ini.

Atas sebab masih belum pulih dari ancaman COVID-19 Speaker telah memutuskan cuma agenda titah Yang Dipertuan Agong akan berlangsung pada hari berkenaan.

Menurut Mat Sabu alasan yang diberikan itu semata-mata untuk pihak Kerajaan lari dari berhadapan dengan Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Advertisement

Bagi Mat Sabu keputusan itu tidak bijaksana dan tidak mencerminkan amalan demokrasi. Lantas Mat mengugut jika Parlimen bukan pentas untuk amalan demokrasi adakah ini bermakna (rakyat) perlu ke jalanan.

Gelojoh dan gopoh sungguh Presiden PAN. Silalah ke jalanan kita mahu tengok. Tidakkah ancaman COVID-19 ini satu realiti? Sidang DUN Johor baru berlangsung dengan agenda yang sama, mengapa PAN Johor boleh terima dan tidak memberontak seperti Presidennya?

Parlimen bukan terus ditutup tetapi tangguh urusannya ke bulan Julai, ketika itu nanti bukankah amalan demokrasi boleh berjalan? Apa masalah?

Mat Sabu pun tidak perlulah tunjuk jaguh, jika benar PH punya cukup bilangan maka hadirlah 18 hari bulan nanti dan buktikan tanpa perlu usul pun.

Bimbang PAN cuma mengigau di siang hari sedang kerusi dalam tangan tak cukup bilangan pun. Bawalah 112 atau lebih 18 hari bulan nanti, berbaris semua di perkarangan Parlimen kemudian boleh turun ke jalanan biar rakyat tonton dan hitung.

Jangan pula macam kancil dan buaya sekadar satu dua tiga lekup… Hakikatnya tertipu sebagaimana rakyat tertipu dengan Manifesto PH tempoh hari.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 16/5/2020