Pelajar duduki peperiksaan penting diutamakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan penting sekiranya kerajaan berhasrat untuk membuka semula sekolah.

Advertisement

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebarang keputusan berhubung pembukaan sekolah akan dimaklumkan dua minggu lebih awal untuk pihak sekolah dan para guru membuat persiapan.

“Ini untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) mengenai penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Guru, di Putrajaya, hari ini.

Pelajar yang akan diberi keutamaan melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Mengulas lanjut, menurut beliau proses pendigitilan pendidikan dengan penggunaan platform dalam talian atau pembelajaran maya akan terus di perkasakan demi manfaat sektor pendidikan di masa hadapan.

Justeru itu, beliau menyeru kepada guru-guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan home-based learning yang merupakan kebiasaan baharu dalam bidang perguruan.

Perdana Menteri, mengambil kesempatan tersebut dengan turut serta mengucapkan Selamat Hari Guru dan mengutarakan penghargaan kepada golongan pendidik. – HARAKAHDAILY 16/5/2020