Peluang kepada anak muda – Ir Khairil

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia yang menganggur.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata cadangan kementerian itu perlu disambut dan jangan disia-siakan peluang yang diberikan kerana tawaran gaji sebanyak RM2,400 sebulan sangat mencukupi.

Katanya, inilah peluang kepada anak muda yang menganggur untuk merebut peluang yang ada bagi mengukuhkan ekonomi mereka.

Advertisement

Dalam masa yang sama, beliau juga menasihati golongan belia terutama yang menganggur supaya menceburi bidang keusahawanan seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“PKS adalah penyumbang sebanyak 66 peratus kepada jumlah tenaga buruh dalam negara.

“Selain itu, ia juga mendapat dukungan dan galakan oleh pihak kerajaan. Ia terbukti menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu golongan itu.

“Meskipun ia sekadar bantuan untuk meringankan beban golongan usahawan yang terjejas ekoran Covid-19, namun ia membuktikan bahawa kerajaan tidak meminggirkan para usahawan PKS,” katanya kepada HarakahDaily.

Jelasnya, bidang keusahawanan adalah jawapan yang terbaik untuk anak muda ceburi dalam membangunkan ekonomi mereka pada masa kini.

Tambahnya lagi, keusahawanan merupakan bidang turun temurun orang Melayu sejak abad ke-14 sehingga 15 yang bermula di pelabuhan Melaka dahulu.

Katanya, semua sedia maklum bahawa pelabuhan Melaka dahulu merupakan pelabuhan tersibuk di dunia dengan aktiviti perdagangan yang diuruskan oleh orang Melayu.

“DNA berniaga sebenarnya ada pada orang Melayu sekiranya melihat kepada sejarah pelabuhan Melaka.

“Namun kini, bidang keusahawanan banyak diceburi oleh kaum bukan Melayu,” ujarnya lagi.

Berikutan itu, katanya mengharapkan belia Melayu memperkasakan kembali elemen keusahawaan serta tidak mensia-siakan peluang yang kerajaan sediakan.- HARAKAHDAILY 16/5/2020