Selamat Hari Guru 2020

ALHAMDULILLAH. Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru 2020 kepada semua pendidik di Malaysia. 

Advertisement

Lebih lanjut, ucapan Selamat Hari Guru khas buat semua Mu’allimin dan Mu’allimat (8,800 Guru PASTI, 1,500 Guru SRITI & 20 Guru SMITI) di seluruh negara. 

Hari Guru yang jatuh pada hari ini 16 Mei 2020 tetap kita sambut bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru, walaupun negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal penularan wabak COVID-19. 

Dalam kekangan baharu yang menyebabkan kita terpaksa membiasakan diri dengan norma dan normal baharu ini, yang penting adalah pada prinsip. 

Prinsipnya Hari Guru adalah pada 16 Mei dan kita menyambut Hari Guru tahun ini dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”.

Melalui tema ini, konsep cinta dan berguru dengan ilmu perlu diterapkan dalam diri setiap diri pelajar, supaya mereka sentiasa mencari ilmu tanpa perlu disuruh dan bukan hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan. 

Dengan ini, murid dan pelajar akan sentiasa meneroka ilmu baharu yang akhirnya nanti akan melahirkan generasi yang mengeluarkan idea dan mencipta produk serta perkhidmatan baharu.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Al-Qur’an:
يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

“Sesungguhnya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Firman Allah ini secara langsung memberi penghargaan kepada orang-orang yang diberi ilmu. Guru memainkan peranan penting dalam memastikan kemenjadian pelajar agar menjadi insan berjaya dalam kehidupan serta cemerlang dunia dan Akhirat. 

DPPM memahami keterbatasan sesi pelajaran dan pembelajaran (P&P) sepanjang tempoh PKP dan kini bersambung dengan PKPB bermula dari 18 Mac dan kini dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. 

Dalam tempoh tiga bulan yang mencabar ini saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada guru-guru PASTI, SRITI dan SMITI yang terus kreatif dan inovatif mengajar secara atas talian menggunakan pelbagai medium yang ada.

PASTI Malaysia, SRITI Malaysia dan SMITI Malaysia telah memperkenalkan pembelajaran secara Home Based Learning (HBL). 
HBL ini melibatkan pantauan secara langsung guru bersama pelajar dan waris. Ini bagi memastikan interaksi antara guru dan pelajar tetap berjalan.

Tahniah kepada pihak pengurusan, pentadbir dan guru PASTI, SRITI dan SMITI di semua peringkat yang telah memainkan peranan bagi menjayakan usaha ini. 

Semoga tanggungjawab yang dipikul bersama serta keprihatinan dan ehsan semua pihak akan memastikan survival PASTI, SRITI dan SMITI dapat diteruskan.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengganjari segala bentuk usaha dan pengorbanan yang telah diberikan khususnya kepada guru-guru sempena hari istimewa ini.

Sekali lagi, Selamat Hari Guru 2020. “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”! Taqabbalallahu minna wa minkum, semoga Allah menerima segala amalan kita semua. 

Sekian, terima kasih. Ramadan Kariim! 
MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI

Ketua Sektor Pendidikan,Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
HARAKAHDAILY 16/5/2020