Tahniah Dr Luqman dilantik Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengucapkan tahniah kepada Dr Luqman Haji Abdullah yang telah dipilih menjadi Mufti Wilayah Persekutuan.

Dr Luqman merupakan anak kepada Almarhum Tuan Guru Haji Abdullah dari Lubok Tapah, Pasir Mas.

“Kak Lah sangat mengenali keluarga beliau dan rapat dengan bondanya, Hajah kak Yah serta ayah kepada Dr Luqman. Kak Lah sentiasa menziarahi Tuan Guru di pondok Lubok Tapah.

Advertisement

“Alhamdulillah, Dr Luqman dipilih menjadi Mufti Wilayah Persekutuan merupakan anak jati Lubok Tapah di parlimen Rantau Panjang dalam jajahan Pasir Mas.

“Semoga pemilihan beliau ini akan dapat memberi khidmat bakti yang terbaik untuk umat Islam terutama di Malaysia,” katanya.

Dr Luqman Hj Abdullah dilahirkan pada 12 September 1969 di kampung Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Lemal, Pasir Mas (1976-1980); sekolah menengah Ugama (Arabiah), Pasir Mas (1981-1986); Pra Akademik Islam Universiti Malaya Nilam Puri (1987-1989) dan peringkat Sarjana Muda di Fakulti Syariah, Akademik Islam Universiti Malaya (1989-1993).

Pernah mengikuti pengajian Undang-undang Perbandingan di UIA (1994-1995). Di samping itu beliau mengikuti pengajian tidak formal secara tradisional di Pondok Lubok Tapah di bawah bimbingan ayahanda beliau sendiri, Al Marhum Tuan Guru Haji Abdullah dari peringkat bawah sehinggalah peringkat tnggi dalam bidang nahu, saraf, fiqh, usuluddin, tafsir, hadis, mantiq dan balaghah.

Beliau pernah berada di United Kingdom selama 4 tahun dan telah memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti of Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang Undang-undang Harta Islam.- HARAKAHDAILY 16/5/2020