COVID-19: Sindrom baru kalangan kanak-kanak 

KES jangkitan COVID-19 di kalangan kanak-kanak dilaporkan rendah setakat ini. Sama ada ia disebabkan oleh rendahnya kebolehjangkitan virus SARS-CoV-2 (penyebab COVID-19) atau kurangnya ujian yang dilakukan kepada pesakit kanak-kanak yang berpotensi mengidap jangkitan tanpa simptom, masih menjadi persoalan. United Kingdom merekodkan kes jangkitan sebanyak 2 peratus di kalangan kanak-kanak berusia kurang dari 18 tahun, sementara 1.7 peratus kes di Amerika. 

Namun begitu, di tengah keributan kes COVID-19 yang telah melepasi angka 4 juta jangkitan di seluruh dunia, beberapa negara Eropah dan Amerika Utara telah melaporkan sindrom baru pada sebilangan kecil kanak-kanak. Antaranya hospital di Bergamo, Itali dan Evelina London Children’s Hospital yang dikejutkan dengan sindrom yang jarang berlaku. 

Advertisement

Berbeza dengan simptom COVID-19 yang biasanya melibatkan paru-paru, pesakit kanak-kanak ini dikesan menunjukkan sindrom keradangan saluran darah sepertimana penyakit Kawasaki, sindrom kejutan Kawasaki atau sindrom kejutan toksik. Simptom yang dikenalpasti termasuklah bengkak kaki dan tangan (extremities), ruam (polymorphic rash), mata kemerahan (non-purulent conjunctivitis), radang lidah, sakit perut dan cirit-birit. 

Fenomena baru ini dikenali sebagai sindrom keradangan multi-sistem kanak-kanak (paediatric inflammatory multisystem syndrome temporally associated with SARS-CoV-2; PIMS-TS). Secara puratanya ia dikesan pada kanak-kanak berusia 5-7 tahun namun terdapat juga kes di kalangan kanak-kanak berusia 16 tahun. 

Virus SARS-CoV-2 gagal dikesan pada sebilangan pesakit PIMS-TS, biarpun begitu rata-rata pesakit mempunyai antibodi terhadap virus tersebut. Kerana itu menurut pakar penyakit kanak-kanak, terdapat kemungkinan besar sindrom ini muncul sebagai manifestasi kepada tindak-balas sistem pertahanan badan selepas jangkitan SARS-CoV-2 berlaku (post-infectious phenomenon). 

Kebanyakan pesakit dilaporkan memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan yang diberikan. Namun terdapat kes kematian terpencil di kalangan kanak-kanak yang mengidap PIMS-TS. 

Kini, lebih banyak kajian giat dijalankan bagi memahami sindrom ini dengan lebih mendalam. Dengan izin Allah mudah-mudahan kita dapat merungkai kekusutan ini dan segera mengenal pasti langkah-langkah pencegahan. Bersamalah kita memohon perlindungan Allah ke atas anak-anak kita dan anak-anak dunia keseluruhannya agar sentiasa terpelihara dari segala wabak dan bahaya. 

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park.

Rujukan utama;
Viner, RM & Whittaker, E., 2020. The Lancet
Verdoni L, et al., 2020. The Lancet
WHO – Multisystem inflammatory syndrome in children and adolescents with COVID-19HARAKAHDAILY 17/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.