Dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri Kedah

KUALA LUMPUR: Kedah akan menjadi model pemerintahan PAS sebagai sebuah kerajaan negeri dengan harapan pertukaran kerajaan negeri itu akan mendapat berkat di sisi Allah bersempena bulan Ramadhan ini.

Advertisement

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Kedah yang baharu sahaja terbentuk setelah Menteri Besarnya, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir hilang sokongan majoriti dari Ahli-ahli Dewan Undangan Negerinya.

Tambah beliau, melalui peluang dan kepercayaan yang diberi pimpinan negeri Kedah serta rakyatnya, PAS akan menunjukkan bahawa PAS beserta PN akan menjadi kerajaan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, kaum dan politik.

“Sebelum kita jadi pemimpin atau kerajaan, kita jadi kerajaan kepada semua rakyat, (jadi kita) tidak terikat dengan bangsa, agama dan parti politik.

“Tanggungjawab kita membuktikan agenda parti secara khusus PAS dan PN secara umum untuk melancarkan Kerajaan Negeri Kedah dengan sebaik-baiknya dengan mendapat dokongan daripada pegawai-pegawai kerajana dan pemimpin-pemimnpin masyarakat.

“Kedah akan menjadi satu model yang baik keada pemerintahan PAS di peringkat negeri, dengan harapan di beri keberkatan oleh Allah SWT sempena dengan berlaku perubahan di bulan Ramadhan Mubarak, bulan yang penuh dengan berkat, rahmat, dan keampunan daripada Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu rakaman Amanat Presiden PAS, Kedah Sejahtera bersempenan dengan pertukaran kerajaan Negeri Kedah di Kuala Lumpur, hari ini melalui laman Facebook rasmi beliau.

Mengambil kesempatan ini, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PAS Negeri Kedah dan rakyat negeri itu yang telah memberi kepercayaan kepada PAS untuk memimpin Kedah Darul Aman.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT diatas kepercayaan yang diberi untuk PAS memimpin negeri Kedah, mengucap junjung kasih kepda Tuanku Sultan Salehuddin Sultan Badlishah yang telah menerima pencalonan daripada PAS.

“Terima kasih kepada rakan-rakan dalam PN daripada Umno, Bersatu dan pihak lain yang telah menyertai kerajaan baru.

“PAS Pusat dan Perikatan Nasional akan beri dukungan sepenuhnya kepada kerajaan negeri menjalankan pemerintahan dan bahtera petadbirannya untuk mencapai matlamat dan tujuan kita yang sebaik-baiknya,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2020