Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 23)

PENELITIAN ayat al-Quran menerusi juzuk 23 hari ini menyentuh berkenaan ujian terhadap manusia yang dikurniakan hati sanubari untuk melangsungkan kehidupan di muka bumi. Hakikatnya, melalui tilawah dan tadabur pada ayat-ayat al-Quran itu sendiri adalah faktor utama sebagai pelembut hati manusia. Allah S.W.T menjadikan semua manusia yang baru dilahirkan, mereka adalah suci bersih dengan mempunyai hati yang bersih daripada sebarang dosa dan noda.

Hati manusia perlu sentiasa disentap bagi memperingatkan kekerdilan dirinya berbanding kuasa Allah yang Maha Esa. Sebab itu, dalam banyak ayat al-Quran, Allah menggunakan kalimah أَلَمۡ تَرَ iaitu apakah engkau tidak memerhatikan? Kalimah sebegini datang bagi menyentap hati manusia agar selalu mengingati kejadiannya. Perumpamaan kehidupan mereka ibarat pokok tanaman yang daunnya lebat hasil daripada air hujan yang Allah turunkan dari langit. Setelah itu tanaman tersebut lama kelamaan semakin tua, daunnya menguning lalu gugur menyembah bumi. Begitulah halnya kejadian manusia yang perlu dihayati oleh mata hati supaya keinsafan sentiasa mendiami hati. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مَاۤءࣰ فَسَلَكَهُۥ یَنَـٰبِیعَ فِی ٱلۡأَرۡضِ ثُمَّ یُخۡرِجُ بِهِۦ زَرۡعࣰا مُّخۡتَلِفًا أَلۡوَ ٰ⁠نُهُۥ ثُمَّ یَهِیجُ فَتَرَىٰهُ مُصۡفَرࣰّا ثُمَّ یَجۡعَلُهُۥ حُطَـٰمًاۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَذِكۡرَىٰ لِأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan menjadi mata air – mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu hidup segar, selepas itu engkau melihat ia menjadi kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.”

[al-Zumar: 21]

Orang yang berakal sempurna ialah orang yang pandai menguruskan hatinya. Oleh kerana itu, ada di kalangan ulamak seperti Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa akal manusia itu berada pada hatinya. Jika hati tidak disirami dengan ayat-ayat al-Quran, ia akan keras membatu dan dipenuhi titik hitam. Pemilik hati keras dipenuhi dosa dan noda yang mengakibatkan dia bersikap jahat dan mulai kufur kepada Allah S.W.T. Orang yang kufur dengan orang yang beriman tidak sama hati mereka. Orang yang beriman apabila membaca atau dibacakan ayat-ayat Allah, kulit mereka menggeletar akibat gerun kepada Allah. Getaran ini terhasil melalui lubuk hatinya yang merasai kekuasaan Allah serta kekerdilan diri. Inilah nikmat Islam yang datang menyinari kehidupan manusia dengan cahaya petunjuk daripada Allah S.W.T, sementara golongan yang kufur, hati mereka berada dalam kegelapan yang menyebabkan pemiliknya tersesat jalan. Hayati firman Allah S.W.T:

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورࣲ مِّن رَّبِّهِۦۚ فَوَیۡلࣱ لِّلۡقَـٰسِیَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ فِی ضَلَـٰلࣲ مُّبِینٍ. ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحۡسَنَ ٱلۡحَدِیثِ كِتَـٰبࣰا مُّتَشَـٰبِهࣰا مَّثَانِیَ تَقۡشَعِرُّ مِنۡهُ جُلُودُ ٱلَّذِینَ یَخۡشَوۡنَ رَبَّهُمۡ ثُمَّ تَلِینُ جُلُودُهُمۡ وَقُلُوبُهُمۡ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ هُدَى ٱللَّهِ یَهۡدِی بِهِۦ مَن یَشَاۤءُۚ وَمَن یُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنۡ هَادٍ

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya petunjuk dari Tuhannya (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu melalui kitab suci al-Quran yang sama isi kandungannya antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang (keterangannya); yang kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah. Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.”

[al-Zumar: 22-23]

Berdasarkan pengamatan melalui ayat-ayat al-Quran tersebut, kita dapati pelbagai cara dan pendekatan digunakan oleh Allah untuk menarik perhatian dan respon daripada pembaca serta pentadabbur al-Quran. Melalui mukjizat al-Quran, ia membuka minda manusia untuk berfikir secara waras dan insaf mengenai segala rahsia ciptaan di langit dan bumi. Terlalu banyak khazanah Ilahi yang perlu digali dan diterokai oleh manusia. Apabila manusia menjumpai rahsia ciptaan Allah, insyaAllah jiwa manusia akan tunduk, khusyuk dan patuh kepada arahan Allah S.W.T.

Menerusi ayat-ayat yang menyentuh soal pengurusan hati manusia seumpama melalui tiga ayat daripada juzuk 23 yang telah dinyatakan di atas, ia dapat disimpulkan bahawa:

(1) Hati manusia dicipta secara fitrah mudah menerima sesuatu perkara yang indah dan hebat. Sebagai contoh apabila kita memerhati kejadian alam ini secara fitrah dan jujur, hati kita terdetik menyatakan bahawa “perkara ini bukan terjadi secara spontan tetapi logiknya ada pencipta, penjaga dan pentadbirnya”. Akibatnya, hati boleh terpaut kepada kebenaran dan berusaha mencari kebenaran tersebut.

(2) Terdapat hati manusia yang berpenyakit, ia akan mudah kecewa, merajuk, putus asa, keras hati, degil, busuk hati, hasad dengki, angkuh dan takabbur. Ini semua merupakan penyakit hati yang sukar diubati dan sukar dibaca oleh kebanyakan orang melainkan ia dapat difahami kadang-kadangnya melalui tindakan serta emosinya. Hati sebegini jika tidak diurus dengan baik, akan memusnahkan pemiliknya.

(3) Sebenarnya Allah hendak menguji bagaimana kita boleh mengawal serta mengurus hati supaya sentiasa tenang, berada dalam keadaan bersih dan sentiasa baik sangka terhadap Allah dan ciptaan-Nya. Pemilik hati sebegini akan sentiasa berada di atas jalan kebenaran.

(4) Allah S.W.T mencipta manusia, Dia lah yang paling tahu lubuk hati manusia, ubat serta penawar terbaik apabila manusia dihinggapi oleh pelbagai penyakit hati terutamanya apabila dinodai bisikan syaitan daripada kalangan jin dan manusia. Hanya pemilik hati yang taqarrub kepada Allah boleh terselamat daripada ancaman syaitan tersebut.

(5) Sikap keras hati atau keras pedal adalah suatu wabak merbahaya. Ia boleh menjangkiti anggota tubuh badan lain serta turut mengawalnya. Biasanya manusia yang membiarkan hati mereka terus keras membatu akan menjadi penentang suruhan Allah lalu merasakan hasil rekaan dan undang-undang ciptaan manusia lebih baik. Hal ini menyebabkan berleluasanya gejala mungkar yang menjalar dalam masyarakat seperti gejala LGBT, fahaman Liberal, Atheis dan lain-lain lagi. Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan hamba Allah yang mempunyai hati tulus lagi ikhlas.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
24 Ramadan 1441 / 17 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 17/5/2020