Laksana pentadbiran berhemah, adil – MB Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah memberi jaminan akan melaksanakan pentadbiran berhemah, bersikap adil dan tidak berlaku penganiyaan terhadap rakyat dan kakitangan kerajaan.

Advertisement

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Mohd Noor, dalam kenyataan sulungnya sejurus majlis angkat sumpah pelantikan kira-kira jam 3.00 petang tadi, juga menegaskan akan berusaha melakukan langkah drastik untuk membantu pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai aspek.

“Jihad kemiskinan terhadap golongan sasaran seperti anak yatim, ibu tunggal dan lain-lainnya akan diberi perhatian tanpa pengabaian kepada golongan bukan Islam,” kata beliau.

Menurutnya lagi, industri pertanian akan diperkasakan untuk memastikan jaminan keperluan bekalan makanan seiring dengan pendekatan Kerajaan Persekutuan mengurangkan impot makanan dari luar negara.

Sanusi juga memaklumkan akan terus komited menjalin hubungan urustadbir bersama Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah keperluan rakyat di samping memberi kerjasama terbaik dengan KCS yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri.

“Saya mengharapkan agar kerajaan baharu ini akan bertambah mantap dengan sokongan dari semua pihak termasuk institusi agama Islam, Jabatan Mufti, Lembaga Zakat selain hubungan yang baik bersama kakitangan negeri dan persekutuan,” tambahnya lagi.

Menyedari masalah yang dihadapi oleh para peniaga kecil terutama di saat menjelang Hari Raya,berkemungkinan kerajaan negeri akan mengambil pendekatan seperti negeri-negeri lain yang membenarkan urusan perniagaan dijalankan dengan mematuhi SOP yang ditentukan oleh KKM.

Justeru itu juga, bantuan rakyat pasca Covid-19 ini juga perlu diberi perhatian di samping menasihati rakyat agar mengikuti arahan pihak berkuasa dan akur dengan cara kehidupan baharu demi kesejahteraan semua.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan kepada industri komoditi getah dan sawit selain memberi fokus kepada masalah air, telekomunikasi, birokrasi dan lain-lain.

Di samping itu, Sanusi juga memaklumkan projek-projek kerajaan terdahulu yang memberi keuntungan dan kebaikan kepada rakyat akan diteruskan manakala akan menangguh mana-mana yang kurang berkeperluan.

“Tidak lupa saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Dato’ Sri Zahid Hamidi

“Selain itu, ucapan terima kasih kepada Dato’ Seri Mukhriz di atas kerjasama yang baik untuk melicinkan lagi proses peralihan kerajaan ini,” sambungnya.

Sanusi tiba di perkarangan Wisma Darul Aman, kira-kira jam 2.40 petang, sementara majlis angkat sumpah berlangsung pada pukul 3.00 petang di aras 3, Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah, Blok A, Wisma Darul Aman.

Pagi tadi, dalam sidang media yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim, beliau mengumumkan Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Mohd Noor sebagai Menteri Besar negeri itu yang baharu.

Dato’ Seri Muhriz Mahathir dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah, terpaksa berundur berikutan 23 Adun Kedah mengishtihar hilang kepercayaan terhadapnya pada 12 Mei lalu dan menyebabkan kerajaan berkenaan hilang majoriti untuk meneruskan pentadbiran negeri.

Perletakan jawatannya selaku Menteri Besar diikuti barisan exco diumumkan dalam sidang media awal pagi tadi. – HARAKAHDAILY 17/5/2020