Muhammad Sanusi angkat sumpah MB petang ini

ALOR SETAR: Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK) mengumumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor diperkenan mengadap Sultan Kedah pada petang ini bagi mengangkat sumpah secara rasmi selaku Menteri Besar Kedah yang baharu.

Advertisement

Ia susulan Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menerima peletakan jawatan Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir yang hilang majoriti bagi menerajui negeri ini.

Pada 15 Mei, Sultan Kedah berkenan menerima mengadap kesemua ADUN-ADUN pada 15 Mei lalu berhubung perkara terbabit.

Demikian kata Dato’ Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dalam satu sidang media ringkas di Wisma Darul Aman di sini sebentar tadi.

Sidang Media Dato’ Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim sebentar tadi

Kata beliau juga, dengan itu ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor diperkenan untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu dijadualkan pada petang ini.

Terdahulu Mukhriz sah melepaskan jawatannya selaku Menteri Besar Kedah berikutan hilang majoriti ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong beliau.

Pengumuman itu dibuat semasa sidang medianya sebentar tadi.
Mukhriz menjadi Menteri Besar dua kali sejak PRU13 hingga kini. Dua kali juga beliau melepas jawatan berikutan kemelut politik yang berlaku pada pentadbiranya.

Empat ADUN Bersatu sebelum ini menyatakan sokongan dan dua ADUN PKR juga keluar parti menjadikan kerajaan PH Kedah tumbang.

Dalam pengumuman tadi, Mukriz menyatakan seorang menteri besar harus melepas jawatan selepas PH hilang majoriti.

Walaupun beliau menyatakan beliau tiada masalah dalam pentadbiran, namun dalam masa yang sama empat ADUN Bersatu menyatakan mereka memilih untuk bersama keputusan Bersatu di peringkat nasional yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PH hanya tinggal 13 kerusi dan hilang kelayakan menerajui negeri.
Sebelum ini pada 15 Mei, proses 23 ADUN Perikatan Nasional (PN) mengadap Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman,  berjalan dengan lancar.- HARAKAHDAILY 17/5/2020