Muhammad Sanusi selesai angkat sumpah MB Kedah

KERAJAAN Negeri Kedah Darul Aman secara rasmi bertukar tangan pengemudinya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Noor, selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu, menggantikan Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Advertisement

Majlis angkat sumpah itu berlangsung sebentar tadi di Pejabat Sultan Kedah, Aras 3, Blok A, Wisma Darul Aman.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilantik menjadi Ketua Pembangkang DUN Kedah, apabila menang sebagai ADUN Jeneri pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Anak didik Al-Marhum Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak itu, walaupun baharu pertama kali menjadi ADUN namun pengalamannya dalam dunia politik amat luas.

Beliau pernah menjadi calon DUN Belantik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, namun kemenangan tidak berpihaknya.

Semasa Kedah ditadbir Pakatan Rakyat (2008-2013), beliau diberi amanah selaku Setiausaha Politik (SetPol) Menteri Besar Kedah dan sekali gus pengalaman yang ada menjadikan beliau dikenali dalam kalangan kakitangan Wisma Darul Aman serta jabatan kerajaan negeri.

Sementara itu, di peringkat parti, beliau diberi kepercayaan beberapa penggal sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Di Kedah pula, beliau dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya, Yang DiPertua PAS Kawasan Sik dan sebelum ini pernah menjadi Ketua Penerangan PAS Kedah serta terlibat secara langsung bersama Dewan Pemuda PAS Negeri.

Menteri Besar yang baharu ini juga merupakan aktivis misi kemanusiaan merentasi sehingga ke luar negara bersama PASRelief. 

Beliau banyak memberi penumpuan kepada masalah pelarian Rohingya selain membantu negara Islam yang ditimpa musibah gempa bumi, sebagaimana yang berlaku di beberapa daerah di Indonesia.

Apa yang mungkin tiada pada orang lain, Muhammad Sanusi antara pemimpin yang berfakta apabila menyampaikan hujahnya apabila mengulas sesuatu isu samada yang berkaitan pentadbiran kerajaan, semasa atau lain-lain.

Anak kelahiran Sik ini, sinonim dengan kesusahan kehidupan rakyat terutama golongan penoreh getah, beliau yang lahir dari keluarga penoreh, memahami denyut nadi golongan berkenaan bagaimana susahnya untuk mencari sesuap nasi.

Oleh sebab itu, ADUN Jeneri ini, tidak kekok duduk bersimpuh, makan ikan kering, sambal belacan berulamkan petai, jering mahu pun genuak. Tidak canggung meratah ikan darat, menghirup sayur keladi masak asam bersama ikan keli.

Walau pun ada yang melihat, bekas Ketua Pembangkang ini, agak cengei (garang) namun beliau sebenarnya memiliki hati yang lembut dan mudah tersentuh.

Bertuah rasanya, Kedah memiliki seorang pemimpin yang jiwanya bersama rakyat dan mempunyai kesungguhan yang jitu memperjuangkan hak rakyat.

Semoga kepimpinan Al-Marhum Ustaz Azizan akan bersama dengannya dan bukan hanya bakat ‘kilaih‘ (patah) dengan ayat ‘mantik’ tetapi kebijaksaannya juga.

Mudah-mudahan Kedah terus cemerlang dengan kepimpinan dan kerajaan baharu. – HARAKAHDAILY 17/5/2020