Mukhriz, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’

DRAMA politik di Kedah sejak Selasa lalu nampaknya mengesot ke penghujung. Apa pun Mukhriz Mahathir tidak boleh salahkan orang lain.

Advertisement

Tindakannya sejak awal lagi menyimpang dengan Bersatu Pusat.
Bersatu sudah mengumumkan keluar Pakatan Harapan (PH). Itu mukadimah yang berlaku.

Sebagai Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz sedia maklum. Keputusan keluar PH muktamad. Soal sah atau sebaliknya itu isu kedua.

Peliknya tiba-tiba Mukhriz mahu bergantung hayat kepada PH di Kedah. Semua orang jadi pening. Sarjana politik pun tidak dapat merumus teori mana yang Mukhriz gunakan. Tidak berlaku dalam sejarah politik sebelum ini.

Sekiranya sejak awal Mukhriz mengikut kehendak majoriti, mungkin tidak berlaku 4 Adun Bersatu belot. Malah kedudukan Mukhriz sebagai MB mungkin tidak tergugat.

Sifir itu sudah berlaku di Perak. Ahmad Faizal Azamu pada 10 Mac lepas
meletak jawatan. Ia berlaku selepas kerajaan PH di Perak tumbang.
Pada PRU lepas PH menguasai 30 kerusi Dun di Perak. PH terdiri daripada DAP (18), PAN (6), PKR (4) dan Bersatu (2).

Manakala pembangkang pula – Umno 25 kerusi, PAS (3) dan Bebas (1).
Namun selepas Adun PAN dan DAP keluar parti, akhirnya kerajaan PH tumbang.

PN Perak sekarang menguasai 35 kerusi. Dominasinya Umno 25 kerusi, PAS (3), Bersatu (4) dan tiga kerusi Bebas termasuk bekas DAP dan PAN.
Biarpun Bersatu ada 4 Adun, namun Ahmad Faizal selamat di kerusi menteri besar. Istana melantiknya semula.

Sedangkan ada dua lagi calon MB Perak iaitu Saarani Mohamad (Umno) dan Razman Zakaria (PAS) dalam senarai awal.

Ternyata percaturan Faizal mengena. Sepatutnya Mukhriz boleh mencontohi model itu. Namun kerana terlalu mengikut percaturan bapanya, akhirnya dia kecundang.

Jejaki Selangor

TIBA-tiba selepas hilang sokong Mukhriz meluahkan dia dikhianati ‘kawan-kawan’.

“Biasalah perasaan bila dikhianati kawan-kawan, sebelum ini berlaku di pusat dan sekarang di negeri. Nampaknya pengkhianatan berlaku macam-macam cara,” katanya seperti dilapor portal berita.

Mungkin Mukhriz lupa percaturannya sejak awal lagi silap. Teori dirintis Ahmad Faizal tidak mahu dimanfaatkan. Sebaliknya dia membuat percaturan sendiri.

Seandainya Mukhriz membawa Bersatu bersama Muafakat Nasional di Kedah, mungkin kedudukannya selamat. Bersatu di Kedah ada 6 Adun.
Apabila digabung dengan PAS dan Umno bermakna jumlahnya 23 Adun.

Itu belum lagi dikira 2 lagi Adun PKR yang tidak sebulu dengan Anwar Ibrahim.

Apabila dicampur dua bekas Adun PKR bermakna kekuatan PN bertambah kepada 25. Malangnya Mukhriz tidak memanfaatkan peluang itu.

Hari ini menteri besar dua kali itu umpama jatuh ditimpa tangga. Menjejaki apa yang dialami bapanya. Juga dua kali bergelar perdana menteri.

Namun akhirnya meletak jawatan di tengah jalan.
PN yang didominasi PAS sekarang memiliki 23 Adun. Mereka iaitu 15 daripada PAS, Bersatu (4), Umno (2) dan dua bekas PKR.

Sudah ‘geger’ di serata tempat esok kerusi Mukhriz di Wisma Darul Aman akan diduduki orang lain. Biarpun berkali-kali mengaku masih lagi MB, namun ia tidak lebih sebagai syok sendiri.

Nasi sudah jadi bubur. Kegemilangannya bapanya semakin pudar. Kata bekas pegawai tadbir diplomatik, Ashaari Mamat, zaman Dr Mahathir sudah berlalu.

Kisah yang menimpa Mukhriz sekadar mengulangi apa yang berlaku di Johor, Melaka dan Perak.

Namun harus ingat episod politik tidak terhenti di Kedah sahaja. Lambat laun akan menular ke Selangor. Khabarnya 10 daripada 19 Adun PKR di negeri itu merupakan pentaksub Azmin Ali.

PH sekarang memiliki 43 Adun, manakala PN pula 13. Kemungkinan kedudukan boleh bertukar PH 33 – PN 23.

Tidak dapat ditolak Adun DAP dan PAN pun intai peluang. Tunggulah episod seterusnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2020