Nakbah: Malapetaka yang perlu dikenang

KUALA LUMPUR: Peristiwa Nakbah Palestin adalah peristiwa yang dikutuk oleh seluruh umat manusia kerana kezaliman zionis yahudi merampas segala hak kepunyaan milik rakyat Palestin sejak 15 Mei 1948.

Advertisement

Berkongsi pandangan mengenai Pasca 72 tahun derita Nakbah Palestin, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan peristiwa Nakbah Palestin adalah peristiwa bersejarah dengan malapetaka yang perlu dikenang oleh seluruh umat manusia.

Ujarnya, umat Islam khususnya mesti membuang sifat-sifat asroh (sifat seburuk-buruk bakhil) agar menyedari bahawa setiap mereka mempunyai tanggungjawab iaitu mementingkan saudara yang ditimpa bencana.

Katanya, dalam setiap artikel tulisan dan ucapannya beliau sering memberi penekanan terhadap kesedaran umat Islam memiliki rasa simpati terhadap umat Islam di Palestin dengan memahami makna sebenar peristiwa Nakbah Palestin.

“Perlu kita fahami ada perancangan yang dipengaruhi oleh kuasa-kuasa penjajah yang terlibat di dalam jenayah nakbah itu.

“(Bertujuan) untuk mengansurkan negara Palestin secara licik di atas nama kedamaian dengan memperkecilkan isu Palestin.

“Dan nakbah kepada isu umat Islam dan isu kemanusian kepada isu perkauman Palestin sahaja dan isu baitulmaqdis sahaja.

“Kita percaya walaupun mereka merancang perancangan itu menemui kegagalan.

“Kita umat Islam percaya kepada janji Allah yang disebut dalam al-Quran disebut oleh Rasulullah saw bahawa kemuncaknya Palestin menjadi kubur kaum Yahudi.

“Yang mengkhianati terhadap nabi-nabi dan rasul dengan makna di penghujung umat Islam akan mencapai kemenangan,” ulasnya.

Beliau berkongsi pandangan tersebut ketika menjadi tetamu undangan untuk rancangan Assalamualaikum dikendalikan oleh pengacara Amie Sofia dan Ardi Herman yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah pagi tadi.

Manfaatkan pelantikan Duta Khas Timur Tengah

Kemenangan yang akan dicapai oleh umat Islam di seluruh dunia katanya perlu melalui beberapa syarat yakni sentiasa istiqamah dengan Islam sehingga betul-betul layak dalam menegakkan keadilan untuk semua.

Berkongsi komitmennya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, beliau akan memanfaatkan hubungan baik dengan organisasi Islam antarabangsa untuk memudahkan usaha memenangkan dan membela umat Islam yang ditindas.

“Saya akan manfaatkan hubungan saya dengan organisasi Islam di peringkat antarabangsa, dengan tokoh-tokoh Islam antarabangsa untuk memudahkan usaha ini.

“Yang barangkali Perdana Menteri memberi kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugas ini bukan sahaja Palestin termasuk isu umat Islam lain di seluruh dunia isu Rohingya, isu Kashmir dan lain-lain.

“Insha Allah kita akan cuba manfaatkan sedaya upaya, insha Allah dengan keinsafan dan kesedaran kita semua, usaha ini akan berjaya,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 17/5/2020