Tahniah YAB Sanusi, MB Kedah ke-14

Sanusi

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor (ADUN Jeneri) atas pelantikan sebagai Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar bagi Negeri Kedah Darul Aman yang ke-14 setelah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan perkenan daripada KDYMM Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Pelantikan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke-14 untuk menerajui urus tadbir negeri ‘Jelapang Padi’ ini menandakan bermulanya pemerintahan Kedah di bawah Perikatan Nasional yang lebih stabil dan pelantikan beliau merupakan manifestasi kesepakatan yang utuh dalam kalangan ADUN yang membentuk Kerajaan.

Advertisement

Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke-14 merupakan seorang yang sangat komited dalam menjalankan amanah yang dipikulnya dalam parti antaranya menjadi peneraju kepada gerak kerja pilihan raya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau juga menjadi tulang belakang mengasaskan PASRelief yang merupakan agensi kemanusiaan kepada jamaah yang telah terlibat dalam pelbagai misi seluruh dunia.

Di peringkat urus tadbir negeri pula, beliau pernah berpengalaman menjadi Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Kedah ke-10, Almarhum Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak.

DPPM yakin dengan pengalaman yang ada pada beliau di peringkat parti dan di peringkat urus tadbir negeri serta dukungan padu daripada majoriti ADUN dalam Perikatan Nasional, beliau mampu meneraju Kedah untuk menjadi negeri yang maju dan sejahtera.

Kami di pihak DPPM mendoakan agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah ke-14, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor diberikan petunjuk dan hidayah dalam menjalankan tugasan dan amanah yang telah diberikan.

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 17/5/2020