Covid-19: Jumlah sembuh meningkat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 kes pulih dari jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 5,615 atau 80.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 47 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 6,941.

“Daripada 47 kes tersebut, 21 merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, 26 merupakan kes jangkitan tempatan dan 17 kes adalah bukan daripada warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.

Advertisement

Demikian itu, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 1,213 kes.

Hingga kini, ada 13 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Noor Hisham, tiada kematian baharu dilaporkan setakat tengah hari tadi, ini bermakna jumlah kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 113 atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan.- HARAKAHDAILY 18/5/2020