Malam pembebasan daripada neraka

DALAM kitab Ramadhaniyyat Min Al-Kitab Wa Al-Sunnah karya Syeikh Atiyyah Mohamed Salem menegaskan bahawa pada malam Lailatul Qadar, Allah S.W.T membuka segala pintu rahmah dan maghfirahnya dan dibebaskan begitu ramai hamba-Nya daripada azab neraka:

Advertisement

إنها ليلة لا يعرف حقيقة قدرها إلا الله، ليلة استضافة الأرض لملائكة الملأ الأعلى، ليلة تلقى الأرض فيها بركات السماء، ليلة تتفتح فيها الأبواب لاستجابة الدعاء، ليلة يتضاعف فيها ما لله سبحانه وتعالى من عتقاء

“Sesungguhnya malam (Lailatul Qadar) tidak diketahui hakikat ketentuannya melainkan Allah. Pada malam itu, bumi menerima tetamu istimewa daripada kalangan malaikat tahap tertinggi serta menerima segala keberkatan dari langit. Malam itu juga, pintu-pintu langit dibuka untuk menerima segala doa dan betapa ramai pada malam itu, golongan yang dibebaskan oleh Allah daripada api neraka.”

Orang beriman tersangat gembira dan menunggu-nunggu Lailatul Qadar bahkan semenjak tiba Ramadan lagi, mereka telah riang bergembira kerana Ramadan adalah bulan pembebasan daripada api neraka. Ia adalah bulan pengampunan segala dosa dengan ditutup rapat pintu neraka. Hakikatnya, seluruh waktu di bulan Ramadan terdapat rahmah, keampunan Allah dan kesempatan bagi orang Mukmin untuk bebas daripada api neraka. Sementara apabila datang Lailatul Qadar, semakin berganda orang yang dibebaskan daripada azab neraka dan pelbagai amal soleh serta kebajikan dilipatgandakan.

Para malaikat bersama Jibril A.S memenuhi ruangan bumi pada malam tersebut menaburkan rahmat serta kasih sayang Allah S.W.T kepada hamba-Nya dan menyampaikan salam iaitu mendoakan keampunan kepada golongan beriman hingga terbitnya fajar. Imam Al-Qurtubi menyebut bahawa malaikat di setiap langit bahkan dari Sidratul Muntaha turun ke dunia bagi mengaminkan segala doa orang yang beribadat pada malam tersebut. Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa memburu Lailatul Qadar, semoga dengan kesungguhan tersebut dikurniakan sebuah pertemuan dengan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 18/5/2020