MB Kedah: Tahniah pelantikan YAB Sanusi

SYUKUR ke hadrat Allah S.W.T di atas semua anugerah-Nya kepada kita di sepanjang masa. Di bulan Ramadan Kareem ini, umat Islam khususnya menjalani ibadat berpuasa dengan penuh keinsafan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi berjalan.

Bagi rakyat di Negeri Kedah pula, sambutan Aidil Fitri akan didahului dengan pelantikan Menteri Kedah ke-14, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang telah diperkenankan oleh Baginda Sultan Aminul-Karim Sultan Sallehuddin Badlishah.

BPPNK mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Haji Muhammad Sanusi yang juga merupakan ADUN Jeneri, Sik. Pelantikan beliau juga telah mendapat restu dari Presiden PAS serta semua Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).

Advertisement

Beliau merupakan anak didik bekas Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, pernah berkhidmat selama satu penggal sebagai Setiausaha Politik. Justeru, rencah pengalaman serta selok belok dalam pentadbiran Kerajaan Negeri telah didalami dengan sebaiknya.

Sejak zaman Pemuda hinggalah kini, beliau telah memikul pelbagai amanah kepimpinan dalam parti dan NGO. Juga pernah terbabit dengan pelbagai misi kemanusiaan di peringkat Antarabangsa. Dengan pengalaman yang luas itu, saya yakin beliau mampu untuk memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri dengan baik dan cemerlang.

InsyaAllah, PAS Kedah akan mendukung dan mempertahankan Kerajaan PN, di bawah kepimpinan YAB Haji Muhammad Sanusi. Semoga Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan Kerajaan Negeri dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat dalam usaha menjadikan Kedah negeri yang baik lagi diberkati.

سِيْرُوْا عَلٰى بَرَكَةِ الله

Terima kasih dan salam hormat,

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 18/5/2020