Meluaskan kebajikan biarpun ‘tanpa kos’

SELEPAS kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004 dan ambe meletakkan jawatan sebagai penjawat awam dari USM, maka bermulalah fasa pegang pelbagai jawatan dalam parti. Dari Ketua Pemuda DUN, Pengarah DUN, AJK PAS Kawasan, Naib YDP PAS Kawasan, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan, Timbalan YDP PAS Kawasan, AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu sehinggalah pada 2017 mula menduduki saf AJK PAS Pusat.

Antara bidang tugas yang pernah ambe berkhidmat ialah Lajnah Petani, Nelayan dan Peneroka, Lajnah Alam Sekitar, Pekerja dan Pengguna, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Jabatan Pengurusan Kecemasan dan Bencana sehingga yang terakhir sekarang Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar. Paling lama dan paling sinonim ambe berkhidmat di bidang kebajikan serta pengurusan bencana.

Dalam PAS nak dapat jawatan tak perlu habis pitih satu sen pun. Bila dah dapat jawatan, kita tak ada elaun dan tak ada peruntukan. Untuk nak gerakkan aktiviti lajnah yang dipertanggungjawabkan, perlu kreatif cari sumber kewangan di samping sumber poket sendiri. Dengan suatu keyakinan, Islam yang sedang kita perjuangkan ialah agama Allah, Tuhan Yang Maha Kaya. Allah tak akan mensia-siakan mereka yang berjuang bagi meninggikan agama-Nya.

Advertisement

Nak buat program jangan fikir duit tak ada. Rancang sebaiknya dan tawakal untuk dilaksanakan. Alhamdulillah, tak pernah berlaku ada program yang tergendala kerana tak cukup bajet. Duit untuk perjuangan ini ada dalam poket ahli, penyokong serta mereka yang bersama kita. Ini adalah keyakinan.

PAS dan kebajikan sudah terlalu sebati. Kalah atau menang, ini adalah sebahagian tugas kita dalam sebuah gerakan dakwah, tarbiyah dan siyasah. Kita berusaha untuk hadir di mana rakyat memerlukan khidmat dan bakti. Ketika itu kita tak ada buat jalan, parit, longkang, bekalan air dan lain-lain kemudahan asas kerana itu bukan kerja kita. Rakyat pun tak persoal kerana mereka faham itu tanggungjawab Kerajaan.

Kita buat banyak kerja kebajikan tapi tanpa tekanan kerana rakyat tak menuntut sebab mereka tahu kita kerja sukarela. Ia berbeza bila kita jadi Kerajaan. Kita boleh baiki sebuah rumah tanpa ada orang lain pertikai sebab apa tak baiki rumah dia sekali. Kita boleh agih bantuan secara terpilih kepada yang paling memerlukan tanpa perlu agih kepada semua rumah dalam kampung. Sekarang tak boleh! Mesti semua sampai.

Malah saya juga bergiat dalam aspek kebajikan bersama NGO sehingga keluar negara. Kita ada pengalaman yang agak banyak dalam lapangan ini. Kiranya kita agak masak dengan cara kerja NGO.

Cuma saya ibaratkan begini. Seorang tua, mereka pernah muda dulu. Sebab itu mereka memahami sepak terajang orang muda. Tapi orang muda belum pernah jadi tua. Terima kasih atas segalanya.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/5/2020