Menjunjung kasih Titah DYMM Agong

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan mewakili DPIM menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sempena pembukaan Sidang Rakyat pagi tadi.

Advertisement

Beliau berkata, sesungguhnya rakyat juga turut mengikuti upacara pagi tadi setelah berlakunya krisis politik pada akhir bulan Februari lalu.

Dalam titah itu kata beliau, Yang Di-Pertuan Agong jelas bersikap adil dengan memberikan sinopsis krisis politik tersebut yang terjadi rentetan perletakan jawatan Perdana Menteri ke-7.

“Jelas Perikatan Nasional bukan kerajaan pintu belakang. Rumah Pakatan Harapan yang sendiri dihancurkan, manakala PN menjadi penyelamat kepada rakyat dan negara,” jelasnya.

“DPIM menyarankan ahli-ahli Parlimen PH untuk berhenti menggunakan isu kerajaan pintu belakang kerana Yang Di-Pertuan Agong sendiri menyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8 mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat,” ujar beliau.

Di samping itu katanya, jelas berdasarkan kedudukan terkini Dewan Rakyat, seramai 114 Ahli Parlimen merupakan barisan Ahli Parlimen Perikatan Nasional, manakala hanya 108 Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Bebas.

“Cukup-cukuplah bersandiwara dengan usul undi tidak percaya,” katanya.

Sementara itu, DPIM berharap Ahli Parlimen PN dan PH untuk memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi negara pasca COVID-19.

“Rakyat kita kebanyakannya hilang mata pencarian pada waktu krisis COVID-19 ini. Negara juga berdepan kemelesetan ekonomi dek kerana kejatuhan harga minyak dunia dan kemerosotan perdagangan antara negara,” jelasnya.

Pihaknya juga berharap situasi politik negara bertambah stabil agar rakyat dapat menikmati kemakmuran negara.

“Kerajaan Perikatan Nasional perlu telus dan bebas rasuah agar terus mendapat mandat rakyat pada PRU-15 nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2020