Orang tak dipercayai usulkan Undi Tak Percaya

undi

APABILA Langkawi secara tiba-tiba mengusulkan Undi Tidak Percaya kepada Pagoh ramai yang kaget dengan tindakan Langkawi ini yang kelihatan sangat tidak konsisten dalam tindakan politiknya. Beliau kini tidak ubah seperti jelatang di hulu air.

Ketika musim pandemik COVID-19 dan PKP yang dihadapi oleh seluruh dunia, Tun Mahathir ternyata meneruskan agenda politik beliau tanpa mengira keresahan rakyat keseluruhannya. Beliau rempuh apa saja demi kelangsungan politik usangnya.

Advertisement

Surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 17 April 2020 dengan jelas menyebut “Tiada Pertanyaan Lisan/ Bertulis/Usul/ Kamar Khas. Oleh yang demikian, semua Pemberitahuan tidak perlu dihantar untuk mesyuarat ini.”

Beliau yang sebelumnya secara sengajanya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, kini beliau sekali lagi tergila-gilakan jawatan itu untuk kali ketiganya. Dunia politik Malaysia seakan-seakan hanya dipunyai oleh beliau. Selama hampir tiga dekad, Malaysia hanya dicaturkan oleh beliau.

Perbalahan beliau dengan Anwar mengalami zaman yang sangat panjang. Berbaik, kemudian berbalah dan berbaik kembali dan akhirnya kini mahu berbalah lagi. Dalam masa yang sama, rakyat diheret bersama ke dalam kemelut politik mereka berdua.

Sehingga kini Tun Mahathir juga seakan masih tidak selesai dendamnya terutama dengan Anwar Ibrahim.

Saya rasa politik Mahathir hampir berakhir. Setiap langkah beliau kelihatan sumbang. Terkini anak beliau telah tumbang di Kedah. Rakyat Malaysia sudah muak dengan politik Mahathir ini. Saya juga teringat kembali doa arwah Ustaz Fadhil untuk Tun Mahathir. Mungkin inilah masanya. Anda rasa bagaimana?

Surat bertarikh 13 Mei 2020 pula menyatakan Parlimen pada 18 Mei 2020 jam 10 pagi hanya bagi urusan Titah Di Raja. Kita lihat bagaimana episodnya pagi ini.

Doakan agar Allah permudahkan urusan kami pagi ini.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
25 Ramadan 1441
18 Mei 2020
Parlimen Malaysia – HARAKAHDAILY 18/5/2020