Sambut baik Titah Agong – Dr Khairudin

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi(KPPK), Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali menyambut baik titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertua Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Advertisement

Beliau berkata, nasihat yang dititahkan dalam ucapan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Perlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini, sesuai dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang telah diperkenalkan oleh PAS sebelum ini.

Dalam titah itu kata beliau, antaranya baginda mengimbas kembali langkah yang demokratik dan adil untuk semua yang telah baginda laksanakan bagi menangani krisis pengakhiran kerajaan lama di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembentukan kerajaan baharu yang diserahkan terajunya kepada Tan Seri Muhyiddin Yassin.

Disamping itu katanya, baginda dalam titah tersebut turut memberikan penghargaan kepada kerajaan terdahulu dan menyatakan harapan kepada kerajaan sekarang.

Dalam titah itu juga baginda memperingatkan Ahli-ahli Parlimen supaya berpolitik secara matang, mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan perpaduan.

“Baginda tidak mahu lagi ahli-ahli politik sentiasa berbalah antara satu sama lain dan berbalas provokasi.

“Besar harapan Baginda agar semua itu bermula dari Dewan yang mulia ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2020